Tidak kira sehebat mana strategi yang dibentuk, pencapaiannya bergantung kepada setakat mana ianya dilaksanakan berdasarkan pelan-pelan tindakan yang telah ditetapkan. Oleh yang demikian, peringkat perancangan pelaksanaan ini merupakan satu fasa penting yang perlu diberikan perhatian.
Pelaksanaan strategi juga memerlukan langkah-langkah yang betul dipenuhi dengan sempurna. Di antaranya ialah:
- Menyelaraskan pelaksanaan strategi untuk tempoh jangka pendek, sederhana dan panjang;
- Penyediaan pelan-pelan tindakan yang menyeluruh dan menyentuh aspek-aspek perniagaan yang ktirikal;
- Menyusun semula organisasi perniagaan bagi menampung strategi yang mahu dilaksanakan;
- Merancang kaedah menambah dana dan sumber-sumber lain yang mencukupi berdasarkan strategi yang dirangka;
- Mengenal pasti sistem dan proses yang perlu diubah selaras dengan kehendak strategi baharu;
- Indikator prestasi dipilih dan dipersetujui sebagai tanda perkembagan pelaksanaan dan pencapaian serta mengenal pasti data, fakta dan maklumat yang perlu dikumpulkan dan kaedah pengumpulan yang paling efisyen; dan
- Mewujudkan koordinasi dan pemantauan dari pejabat CEO atau pun kepimpinan tertinggi perniagaan.
Perkara-perkara di atas akan membantu untuk menerapkann strategi secara sistematik agar ianya boleh dilaksanakan di seluruh aspek perniagaan yang berkenaan. Rajah di bawah menggambarkan bagaimana strategi diterapkan ke dalam pelbagai perancangan perniagaan dan juga di dalam bajet.

Satu perkara penting yang biasanya diabaikan ialah nilai dan budaya di dalam perniagaan. Unsur-unsur halus ini amat besar kesannya di dalam pelaksanaan strategi. Nilai dan budaya negatif akan membantutkan pelaksanaan strategi kerana insan secara amnya sukar untuk berubah.
Oleh yang demikian, tindakan-tindakan khusus perlu dilaksanakan bagi menjadikan nilai dan budaya perniagaan lebih positif dan selari dengan apa yang diperlukan untuk menjadikan pelaksanaan strategi berjaya. Ini biasanya terkandung di dalam perancangan modal insan perniagaan.
Rajah di bawah pula menggambarkan bagaimana pelaksanaan strategi memerlukan pelbagai polisi dan sistem di dalam perniagaan diperbaharui agar selari dengan apa yang hendak dicapai. Kesemua ini perlu disusun secara teratur agar dilaksanakan seperti yang dirancang tanpa menggangu operasi dan perjalanan perniagaan.
