Peranan Dan Struktur

Untuk mempastikan tadbirurus yang berkesan, peranan usahawan sebagai ahli lembaga pengarah dan ahli-ahli pasukan pengurusan kanan yang lain perlu diperjelaskan seperti yang diperincikan di bawah supaya semua orang faham peranan masing-masing di dalam mentadbir perniagaan.

Di dalam ketika yang sama, struktur tadbirurus seperti jawatankuasa pengarah yang perlu ada, keahliannya dan kuasa yang diperturunkan perlu dijelaskan. Bagaimana jawatankuasa-jawatankuasa ini berinteraksi dengan pihak pengurusan harus ditentukan dari peringkat, awal. Lazimnya, anggota pengurusan kanan atau jawatankuasa-jawantankuasa pengurusan yang berkenaan akan dipadankan dengan susunatur tadbirurus di peringkat pengarah.

Contohnya, ketua audit dalam akan mengetuai pasukannya untuk berinteraksi dan membuat laporan kepada jawatankuasa audit pengarah.

Rajah-rajah di atas memberi gambaran bagaimana susunatur lembaga pengarah dan jawatankuasa-jawatankuasa yang ditubuhkan untuk memberi fokus kepada perkara-perkara kritikal yang harus ditangani oleh lembaga pengarah.

Seperti yang dinyatakan di atas, peranan yang dimainkan oleh lembaga pengarah, pengurusan kanan dan pengurus di dalam perniagaan perlu dijelaskan. Ini meliputi:

  • Fungsi kerja mereka
  • Peranan mereka di dalam perniagaan secara keseluruhan
  • Tanggungjawab mereka secara khusus
  • Siapa melapor kepada siapa?
  • Apakah kemahiran yang mereka perlu ada
  • Bagaimana menilai keberkesanan mereka 

Contoh di atas pula ialah bagaimana peranan dan tanggungjawab jawatankuasa pengarah dibezakan dengan peranan dan tanggungjawab pengurusan di dalam pelaporan kewangan.

Satu dokumen polisi yang jelas yang merangkumi perkara-perkara di atas perlu diwujudkan dan disemak secara berkala supaya ianya sentiasa berkenaan. Ini akan menjadi sumber rujukan kepada semua pihak di dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing.

Bagaimana fungsi-fungsi berkenaan disusun dan diatur bagi membentuk carta organisasi juga adalah penting. Yang utama ialah untuk mempastikan ianya sesuai dengan model perniagaan, bukan ditiru dari perniagaan orang lain semata-mata. 

Dari polisi dan carta organisasi di atas, bolehlah diwujudkan prosedur operasi yang akan menjadi rujukan bagi setiap orang yang ada peranan di dalam perniagaan. Prodesur operasi ini perlu diperbaharui dari masa ke semasa mengikut perkembangan perniagaan dan kehendak tadbirurus yang terkini.

Satu elemen penting di dalam susunatur organisasi ialah pengagihan kuasa. Kelejasan di dalam perkara ini penting kerana ianya menentukan tanggungjawab orang yang membuat keputusan di dalam perniagaan. Tanpa kejelasan ini, membuat keputusan akan menjadi lambat dan akan timbul perbalahan bila berlaku perkara-perkara buruk yang boleh menjejaskan operasi dan menimbulkan tanggungan undang-undang kepada perniagaan.

Sebab itulah, melainkan pengarah syarikat adalah usahawan yang menubuhkan syarikat berkenaan atau yang memiliki dan menguruskan perniagaan sendiri, pengarah yang dilantik perlu mempunyai kelayakan dan kemampuan untuk melaksanakan tanggungjawab mereka berdasarkan kepentingan perniagaan dan kehendak undang-undang.

Ini mungkin agak sukar untuk dicontohi oleh perniagaan-perniagan yang kecil kerana risiko yang ada. Walau bagaimana pun, apa yang boleh dipertimbangkan ialah dengan mempastikan fungsi-fungsi penting diadakan dan ada orang yang khusus untuk mengendalikannya. Jika kepakaran tidak ada di dalam perniagaan, orang-orang luar yang mempunyai kepakaran bolehlah dilantik sebagai penasihat. Adakan perbincangan berkala agar pandangan dan pendapat mereka boleh dipertimbangkan untuk dilaksanakan.