Risiko ialah setiap sesuatu yang menghalang pencapaian objektif perniagaan. Walau bagaimana pun tidak kesemua risiko akan berlaku dengan kekerapan yang sama dan memberi kesan yang sama kepada perniagaan.
Langkah-langkah utama di dalam pengurusan risiko ialah:
- Mengenalpasti risiko bagi setiap objektif strategik perniagaan
- Mengkelaskan mereka berdasarkan kebarangkalian ianya mungkin berlaku, jangkamasa kemungkinan berkenaan dan kesan kepada perniagaan sekiranya ianya berlaku
- Mana risiko yang boleh dihadapi oleh perniagaan, mana yang mesti dikawal dan mana yang boleh dipindahkan kepada orang lain
- Mengawas risiko dan menilai semula kedudukan risiko bila suasana perubah
- Bagaimana perkara-perkara berkenaan risiko dikomunikasikan di dalam perniagaan
Kita ambil contoh risiko kebakaran kilang. Jika ianya berlaku, tentunya operasi syarikat akan tergendala dan modal baru diperlukan untuk membina semula kilang.
Walaupun kebarangkalian risiko ini rendah, kesannya kepada perniagaan adalah tinggi jika ianya berlaku. Oleh yang demikian, beberapa langkah pengurusan risiko boleh dipertimbangkan:
- Mempastikan peralatan mencegah kebakaran diadakan, pekerja dilatih untuk mengelak kebakaran dan boleh bertindak dengan segera jika kebakaran bermula
- Kaedah untuk meneruskan pengeluaran dikenal pasti seperti memindah operasi ke kilang yang lain atau memasuki kontrak dengan pembekal yang lain untuk membolehkan mereka mengeluarkan barangan yang sama
- Membeli polisi insuran agar modal yang diperlukan akan diadakan jika kebakaran berlaku
Langkah-langkah pengurusan risiko hendaklah sentiasa dikaji semula bersesuaian dengan perkembangan perniagaan dan industri.

Di dalam rajah di atas, profil risiko perniagaan yang sudah dikenalpasti dan dinilai dibentangkan mengikut jangka masa dan kebarangkalian. Kesan risiko, sekiranya berlaku, digambarkan melalui saiz bulatan yang mewakili risiko berkenaan. Kaedah ini bukan saja memberi maklumat berkenaan risiko maya yang perlu dikawal tetapi dengan mengambilkira masa, risiko yang kecil di dalam keadaan sekarang yang boleh menjadi besar di masa depan dapat diurus sebelum ianya menjadi besar.
Risiko bukan sahaja terhad kepada operasi, proses atau pematuhan tetapi risiko juga wujud di dalam strategi. Risiko ini lebih besar mudaratnya kerana ianya tertumpu kepada tunjang perniagaan.
Tiga risiko strategik utama adalah:
Risiko permintaan: Samada barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan diterima oleh segmen pasaran yang ditetapkan. Jika tiada permintaan, barangan atau perkhidmatan yang hebat tidak akan menjadikan perniagaan untung dan lestari.
Risiko persaingan: Ini akan menjadi tinggi berdasarkan kematangan pasaran. Sudah menjadi lumrah, jika persaingan sengit di dalam pasaran yang matang, elemen persaingan yang akan menjadi tumpuan ialah harga. Ini akan mengurangkan keuntungan atau boleh mendatangkan kerugian. Jika barangan atau perkhidmatan kita mempunyai keuntungan yang tinggi, pesaing akan memasuki pasaran kerana ruang masih ada. Sebab itulah di dalam merangka strategi, kadar persaingan mesti diambilkira.
Risiko keupayaan: Risiko ini ialah bila strategi yang dirangka tidak mengambilkira keupayaan seperti dana, ahli pasukan, teknologi dan lain-lain keperluan untuk mencapai visi yang dituju. Jika kilang baru diperlukan misalnya, tanpa modal dan pembiayaan yang mencukupi, ianya tidak boleh dibina dan ini seterusnya akan menjejaskan perniagaan.
Usahawan yang tidak memahami risiko strategik perniagaannya mungkin akan menumpukan kepada perkara yang salah sedangkan ada perkara besar lain yang boleh menjejaskan perniagaan. Contohnya, bila produknya mula laku, dia mahu meningkatkan lagi kuantiti pengeluaran sedangkan ada pesaing baru yang memperkenalkan produk yang mempunyai lebih banyak ciri dan pada harga yang lebih murah.
Perniagaan perlu mengenalpasi ahli pasukan yang bertanggungjawab untuk menguruskan proses pengurusan risiko. Biasanya, kedudukan ini terletak hampir dengan pengarah urusan atau ketua pegawai eksekutif bagi perniagaan persendirian. Ini adalah kerana orang ini perlu memahami strategi dan gambaran besar perniagaan. Walau bagaimana pun, setiap ahli pasukan lain bertanggungjawab untuk mempastikan risiko yang ada di dalam bidang yang mereka selia berada pada tahap yang boleh diterima. Sebab itulah, penerangan berkenaan risiko dan kaedah mengurusnya perlu diadakan di dalam kala yang kerap.
Para pengarah pula bertanggungjawab untuk menetapkan selera risiko, sebanyak mana kerugian yang sanggup ditanggung, bagi mencapai matlamat perniagaan yang telah ditetapkan. Ini akan menjadi panduan kepada pihak pengurusan, di mana letaknya sempadan-sempadan risiko yang dikira bahaya oleh lembaga pengarah.