Kuasa

Kuasa di dalam konteks kepimpinan perniagaan adalah penting kerana ianya mempengaruhi keupayaan pemimpin berkenaan untuk mencapai matlamat perniagaan melalui sokongan dan usaha kesemua ahli pasukan yang ada di dalam perniagaan berkenaan. Kepimpinan ini juga boleh mempengaruhi keyakinan pihak berkepentingan yang lain seperti pemegang saham, pembekal dan juga pelanggan.

Sumber kuasa di dalam mana-mana organisasi boleh dibahagikan kepada dua punca. Kedudukan rasmi atau pangkat pemimpin berkenaan dan juga pengaruh yang dimiliki ke atas ahli pasukan dan pihak yang berkepentingan.

Mana-mana pengasas perniagaan akan berada di dalam kedudukan kepimpinan kerana status tersebut. Mahu atau tidak mahu, orang lain akan menunggu panduan, saranan atau arahan dari pengasas kerana kedudukan itu memberikannya kelayakan untuk memimpin. Samada pengasas berkenaan mempunyai kemahiran dan bakat kepimpinan adalah satu perkara yang lain.

Pengaruh pula boleh  dimiliki hasil dari prestasi dan pencapaian yang zahir kepada orang yang dipimpin. Keperahatinan yang ditunjukkan, tunjuk ajar yang diberikan, kejelasan halatuju dan meletakkan kepentingan orang yang dipimpin di atas kepentingan pemimpin adalah faktor-faktor yang membolehkan seseorang berpengaruh di dalam organisasi walaupun tidak ada kedudukan yang tinggi di dalam organisasi berkenaan.

Oleh yang demikian, di samping kedudukan dan kuasa yang ada di dalam perniagaan, seseorang usahawan perlu sentiasa meningkatkan pengaruhnya dengan mempamirkan ciri-ciri penting seperti yang dinyatakan di atas. Ini memerlukan usaha yang berpanjangan dan jantunghati yang ikhlas.

Untuk melicinkan pengurusan, usahawan perlu juga menurunkan kuasa kepada ahli pasukan yang mempunyai kemahiran dan mampu melaksanakan tanggungjawab yang datang dengan kuasa berkenaan. Ini membolehkan keputusan yang mustahak dibuat pada ketika yang sesuai dan tidak perlu menunggu keputusan dari usahawan yang mungkin perlu menumpukan perhatiannya kepada aspek perniagaan yang lebih penting.

Walau bagaimana pun, penurunan kuasa perlu diimbangi dengan sistem dan proses yang berkesan agar kuasa berkenaan digunakan dengan wajar dan membantu melicinkan operasi perniagaan tanpa disalah gunakan.