Fungsi-fungsi pengurusan dan pentadbiran perniagaan seperti yang dibincangkan sebelum ini perlu dijalankan oleh orang-orang yang mempunyai keupayaan kepimpinan yang efektif. Semakin besar dan kompleks sesebuah perniagaan, semakin mencabar pula untuk memimpinnya.
Seorang usahawan tidak boleh lari dari tanggungjawab kepimpinan kerana kedudukannya sebagai pengasas dan pentadbir. Jika dia terlibat di dalam pengurusan secara aktif, tanggungjawab kepimpinan ini akan menjadi lebih besar. Di dalam industri yang sentiasa berubah dan banyak perkara yang memerlukan tindakan yang pantas serta keputusan yang cepat, kedudukan pemimpin di dalam menentukan kejayaan perniagaan akan menjadi lebih ketara dan kritikal.
Memang sudah ada banyak sumber-sumber di luar sana yang membincangkan berkenaan aspek-aspek kepimpinan. Walau bagaimana pun, enam aspek kepimpinan diberi penumpuan di dalam buku ini di kira paling asas yang perlu dimiliki oleh mana-mana usahawan.
Enam aspek-aspek tersebut adalah:
- Kemahiran
- Amanah
- Keberanian
- Kuasa
- Dipercayai
- Komunikasi
Ini tidak bermakna aspek-aspek kepimpinan lain yang tidak disenaraikan tidak penting. Di dalam masa yang sama, seorang usahawan tidak semestinya mesti hebat di dalam kesemua keenam-eman aspek di atas tetapi perlu faham keperluannya dan mampu mengimbang kekuatan dan kekurangannya dengan kekuatan dan kekurangan ahli pasukan secara keselurahannya.
Sedalam mana dan seluas mana keenam-enam aspek di atas perlu ada di dalam diri usahawan dan ahli pasukannya juga bergantung kepada saiz perniagaan, industri yang diceburi, persaingan yang dihadapi, strategi yang dipilih dan pelbagai perkara yang boleh berbeza dari satu perniagaan ke perniagaan yang lain.

Nilai kepimpinan tidak hanya tertumpu kepada orang yang memimpin tetapi merangkumi pencapaian orang-orang yang dipimpin. Kehebatan pemimpin tidak bermakna jika pengikut tidak ke mana-mana, tidak mencapai objektif organisasi dan budaya yang diamalkan di dalam organisasi tidak selari dengan visi dan misinya. Arah yang dituju kena jelas dan kesafahaman di antara pemimpin dan ahli pasukan berkenaan lingkungan pencapaian dan keputusan perlu ada agar tidak ada pihak yang teragak-agak.
Kepimpinan adalah satu aktiviti yang memerlukan pemimpin berinteraksi dengan pengikut untuk mendapat kepercayaan mereka. Jika interaksi tidak berlaku dan tidak ada komunikasi yang berkesan, keupayaan pemimpin menjadi pendorong yang baik mungkin terjejas. Komunikasi bukan sahaja berlaku secara lisan tetapi merangkumi gelagat dan tabiat pemimpin yang nyata kepada pengikutnya