Di dalam konteks keusahawanan, keberanian adalah penting kerana bidang ini penuh dengan risiko, orang yang menceburkan dirinya sentiasa menghadapi cabaran dan terdapat tekanan-tekanan perniagaan dan peribadi yang mendorong usahawan membuat pilihan yang salah.
Berani di dalam konteks kepimpinan ialah melakukan apa yang betul walaupun di dalam keadaan yang mencabar yang boleh memberi kesan besar ke atas pemimpin kita. Ini termasuk berniaga secara jujur walaupun orang lain menggunakan strategi dan teknik yang mengelirukan pelanggan mereka dan berjaya beroleh keuntungan yang tinggi.
Keberanian juga perlu untuk menolak amalan keji seperti rasuah. Adalah menjadi satu kepercayaan sonsang di kalangan orang yang berniaga bahawa berniaga dengan jujur tidak membawa kepada keuntungan dan rasuah adalah satu keperluan untuk mendapatkan peluang perniagaan.
Seperti mana di dalam aspek-aspek kehidupan yang lain, kita perlu merancang untuk berniagan dengan cara yang bersesuaian dengan kepercayaan dan nilai yang kita pegang. Ini termasuk menghindari industri-industri tertentu yang mana diketahui umum bahawa amalan rasuah, misalnya, menjadi amalan umum. Kita boleh cari bidang lain yang lebih bersih amalannya walaupun kadar pulangan perniagaan atau keuntungan lebih rendah dan memerlukan masa yang lebih panjang.
Keberanian juga perlu di dalam membentuk strategi terutamanya jika mahu memasuki bidang atau ruang yang baharu. Sama seperti yang dibincangkan di atas, keberanian ini mestilah berdasarkan usaha seperti membuat kajian pasaran yang teliti dan membentuk model perniagaan berdasarkan maklumat yang baik dan maklum balas dari pelanggan atau bakal pelanggan.
Jika mahu mengubah operasi juga memerlukan keberanian. Ini adalah kerana ahli pasukan kita mungkin sudah biasa dengan kaedah yang tertentu dan sukar bagi mereka untuk berubah. Walau bagaimana pun, dengan keyakinan yang tinggi hasil dari kajian dan maklumat yang tepat, risiko ini boleh diharungi dengan langkah-langkah yang disusun terlebih awal.
Perkara yang mungkin tidak memerlukan keberanian ialah pematuhan undang-undang. Risikonya tinggi dan reputasi kita sebagai usahawan akan terjejas jika didakwa dan didapati bersalah. Seperti yang dibincangkan sebelum i