Kawalan Dalaman

Ini adalah sistem dan proses yang menghalang risiko dari berlaku atau mengurangkan risiko ke tahap yang ditetapkan oleh usahawan atau pengarah. Jika kita rujuk kepada kaedah mengurus risiko di atas, kesemuanya adalah pilihan-pilihan kawalan dalaman yang boleh dilaksanakan.

Proses pengurusan risiko dan kawalan dalaman sangat kait mengait sehingga kadang-kadang sukar untuk membezakan di antara kedua-duanya. Namun, kawalan dalaman juga merangkumi perkara-perkara operasi seperti pengurusan harta, kewangan dan pencegahan penipuan dan kesilapan.

Kaedah yang perlu digunakan ialah kenalpasti objektif perniagaan, apakah yang menghalang pencapaian objektif berkenaan (risiko)  dan apakah yang perlu dilakukan (kawalan dalaman) untuk menguruskan risiko berkenaan supaya perniagaan berjalan seperti yang dirancang.

Proses kawalan dalaman boleh dibahagi kepada tiga:

  • Kawalan yang menghalang seperti menghalang kerugian dari berlaku
  • Kawalan yang memperbetulkan bila berlaku salahlaku atau kemungkaran proses
  • Kawalan pengesanan untuk mengenalpasti punca masalah dan bagaimana untuk mengelakkannya dari berulang

Satu kaedah utama di dalam operasi kawalan dalaman ialah pemisahan tanggungjawab. Ini bermakna setiap kerja yang dilakukan oleh seseorang diperiksa atau diluluskan oleh orang lain yang tidak mempunyai tanggungjawab yang sama. Dengan adanya teknologi, banyak kawalan yang lazimnya dilakukan oleh manusia sudah boleh dimasukkan di dalam sistem. Walau bagaimana pun, proses pengawasan masih perlu tetapi difokuskan kepada perkara-perkara yang lebih strategik.

Di dalam membuat pembayaran, orang yang menyediakan dokumen seperti boucer tidak terlibat di dalam proses pembelian. Dia bertanggungjawab mengesahkan pembelian sudah dibuat seperti yang sepatutnya dan menyediakankan cek mengikut dokumen yang sudah disahkan. Ada orang lain yang akan menyemak kesahihan kesemua ini sebelum diluluskan pembayarannya. Kawalan dalaman perlu kepada sistem semak dan imbang yang bebas dan berkesan.

Di antara contoh-contoh kawalan dalaman lain yang lazim digunakan ialah:

Pembelian: Mengkehendaki pembelian yang melebihi jumlah yang tertentu dibuat secara tender terbuka. Kaedah ini bukan sahaja memberikan perniagaan peluang untuk memilih barangan atau perkhidmatan yang paling sesuai, ia juga boleh menjadikan kos belian lebih munasabah. Bagi pembelian yang kurang dari jumlah di atas, pembelian boleh dibuat melalui sebut harga dari pembekal yang berdaftar.

Mencari kakitangan baru: Iklan terbuka melalui media awam atau pun carian dengan menggunakan pencari pekerja profesional. Kelayakan bakal pekerja dan kemahiran mereka dinilai secara objektif melalui penilaian formal dan temuduga.

Dokumen penting: Di simpan di dalam peti besi yang kalis api atau di simpan di dalam peti simpanan di bank.

Pembayaran: Cek yang bernilai tinggi memerlukan lebih dari satu tandatangan dari kumpulan orang yang berbeza seperti pengarah dan pengurusan kanan. Dokumen yang menjadi asas pembayaran perlu disahkan oleh ahli pengurusan yang ditetapkan.

Strategi: Proses penilaian semula strategi dilakukan secara berkala seperti setiap akhir tahun dengan menggunakan maklumat dan data yang berasal dari sumber-sumber yang berwibawa.

Satu lagi perkara penting di dalam perniagaan ialah rancangan penerusan perniagaan. Ini adalah langkah-langkah yang ditetapkan lebih awal untuk dilaksanakan jika ada proses utama perniagaan terganggu. Contohnya, jika berlaku kebakaran di ibu pejabat, lokasi gantian dikenalpasti terlebih dahulu dan kelengkapan asas yang membolehkan ianya mengambil alih fungsi ibu pejabat tersebut sudah tersedia. Ini perlu dinilai semula dan dicuba setiap tahun agar peralihan boleh dilakukan tanpa kesan yang besar ke atas perniagaan.

Setiap fungsi utama perniagaan perlu ada rancangan penerusan perniagaannya yang tersendiri.

Di kebelakangan ini, keselamatan siber mula menjadi perkara utama bagi kebanyakan perniagaan kerana kepesatan penggunaan teknologi di dalam perniagaan. Risiko kehilangan atau kecurian data menjadi lebih besar bila lebih banyak maklumat elektronik disimpan dan diproses di dalam perniagaan.