Bagi menjadikan kepimpinan seseorang usahawan itu berkesan, dia harus dipercayai oleh ahli pasukannya dan juga pihak berkepentingan yang lain. Jika unsur kepercayaan ini tiada, banyak urusan akan menjadi perlahan kerana ahli pasukan dan pihak lain perlu mengesahkan dahulu apa-apa arahan dan janji yang dibuat oleh usahawan berkenaan.
Seperti mana-mana insan yang lain, kepercayaan kepadanya timbul berdasarkan penilaian orang lain ke atas nilai yang ada di dalam jantunghati insan berkenaan. Ini lahir dari pengalaman berinteraksi dengan insan berkenaan dan sejauh mana keputusan yang dibuatnya adalah berdasarkan prinsip-prinsip dan nilai-nilai murni yang diterima oleh masyarakat. Jika dia biasa berbohong misalnya, orang lain akan berasa ragu-ragu bila berurusan dengannya walaupun dia berkata benar di ketika itu.
Menepati janji juga adalah satu ciri kemanusiaan yang penting di dalam perniagaan kerana kebanyakan transaksi perniagaan memerlukan kesemua pihak yang terlibat untuk memenuhi janji yang telah mereka buat. Jika tidak banyak urusan akan tertangguh dan kerugian boleh dialami oleh pihak yang tidak mendapat apa yang dijanjikan oleh pihak yang satu lagi.
Persepsi baik orang lain ke atas seseorang usahawan yang dibina sekian lama boleh terjejas jika dia didapati terlibat dengan perbuatan yang boleh menimbulkan keraguan ke atas integritinya. Ini termasuk memberi sogokan untuk mendapatkan kontrak atau membekalkan barangan atau perkhidmatan yang tidak memenuhi spesifikasi dan terma-terma yang telah dikontrakkan.
Kesan dari persepsi yang tidak baik ke atas usahawan bukan sahaja akan menjejaskan peluangnya untuk berniaga malah akan menyusahkan perniagaan untuk mendapat pembiayaan dari institusi-institusi kewangan. Ini adalah kerana satu kriteria penting di dalam penilaian kredit ialah tahap integriti orang yang memimpin perniagaan dan sejauh mana dia akan menghormati perjanjian yang dimasukinya.
Kepercayaan yang hilang amat susah untuk dibina semula. Ini memerlukan usahawan dan ahli pasukannya meyakinkan pelanggan dan lain-lain pihak berkepentingan melalui kelakuan mereka di dalam satu tempoh yang agak lama. Di dalam proses membina semula keyakinan dan kepercayaan ini, perniagaan yang terbabit mungkin terlepas peluang perniagaan atau sokongan pihak yang berkenaan. Ini sudah tentu akan mempengaruhi daya saing pernigaan di dalam suasana perniagaan yang amat mencabar sekarang ini.