Ini adalah nilai yang menjadikan pemimpin berkenaan bertanggungjawab, tidak menyalahguna kuasa dan melaksanakan apa yang betul berdasarkan nilai-nilai yang dipercayainya.
Mengapa ini penting ada di dalam jantunghati seorang usahwan yang memimpin perniagaan?
Setiap perniagaan yang dipimpin, walaupun kepunyaan sendiri adalah satu amanah. Ini adalah kerana perniagaan tidak wujud secara sendiri. Ia ada pembiaya lain, pembekal, pekerja dan pelanggan, sekurang-kurangnya. Setiap kumpulan manusia ini akan terkesan oleh setiap langkah yang diambil oleh perniagaan berkenaan. Oleh itu tahap amanah pemimpin perniagaan berkenaan menjadi penting kepada orang lain.
Kita ambil contoh urusan dengan pembekal. Biasanya pada peringkat permulaan mereka mahukan perniagaan kita membayar tunai apa yang diberi oleh mereka. Kemudian mereka akan menilai tahap amanah orang yang membuat keputusan perniagaan. Jika mereka mula menaruh kepercayaan dan yakin orangnya jujur, pembekal mungkin akan mula membenarkan kita membeli barang secara kredit. Mula-mula sedikit, kemudian semakin besar nilainya.
Pembiaya seperti bank juga meletakkan kejujuran dan tahap amanah usasawan di kedudukan yang tinggi di dalam membuat keputusan samada mereka mahu mengambil risiko membiayai keperluan modal perniagan kita. Walaupun amanah sukar unntuk dinilai, namun mereka mungkin mengambilkira rekod dan transaksi yang telah dibuat dan komen dari orang-orang yang pernah berurusan dengan kita sebagai asas keputusan kredit mereka.
Pelanggan yakin untuk membeli barangan atau perkhidmatan kita kerana mereka berasa kita beramanah dan akan menunaikan apa yang kita zahirkan di dalam iklan-iklan dan promosi-promosi yang kita buat. Jika ada pesaing dan fungsi barangan atau perkhidmatan hampir sama, persepsi pembeli ke atas nilai yang kita amalkan akan menjadi faktor penting juga.
Di zaman langit terbuka ini, sedikit kesilapan yang kita buat boleh diperbesarkan dengan cepat melalui media sosial. Oleh itu usahawan perlu sentiasa menjaga reputasi dan tidak melakukan apa-apa yang menyebabkan kepercayaan orang lain kepada kita boleh terjejas.