Sebenarnya peraturan dan undang-undang banyak memberi kesan kepada perniagaan. Jika seorang CEO mengambil mudah perkara ini, banyak risiko yang akan ditanggung oleh perniagaan yang sebenarnya boleh dielakkan.
Jika perniagaan ditubuhkan sebagai sebuah syarikat terhad (Sdn. Bhd./Berhad) maka ia perlu mematuhi Akta Syarikat. Ini termasuk mengadakan mesyuarat agong tahunan dan mesyuarat luar biasa bila ada perkara-perkara tertentu tetapi kena juga menyerah simpan pelbagai dokumen yang dikehendaki oleh akta berkenaan. Di sini pentingnya seorang CEO dibantu oleh seorang Setiausaha Syarikat yang bertauliah dan berpengalaman samada yang berada di dalam syarikat atau dari luar.
Yang lebih penting ialah kedudukan CEO di dalam kaca mata undang-undang. Jika sekiranya dia bukan ahli lembaga pengarah sekali pun, di dalam hal-hal tertentu dia pun dikira sama dengan lembaga pengarah dari segi tanggungjawab.
Undang-undang lain yang banyak mempengaruhi perniagaan adalah undang-undang cukai, pelbagai caruman statutori seperti KWSP dan SOCSO serta undang-undang yang berkenaan dengan perniagaan dan operasi seperti pembangunan hartanah dan kontraktor. Elok sekiranya ada satu senarai undang-undang yang perlu dipatuhi oleh perniagaan dan pematuhannya disemak secara berkala bagi mempastikan tiada yang terlepas pandang.
Di antara undang-undang yang terbaharu yang perlu difahami oleh lembaga pengarah dan CEO ialah seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang mewujudkan liabiliti korporat ke atas syarikat jika terlibat dengan jenayah rasuah. Setiap perniagaan perlu mewujudkan prosedur anti-rasuah yang mencukupi (adequate procedures) supaya tidak menanggung tanggungjawab jika berlakunya rasuah.
Setiap transaksi di antara perniagaan dengan pihak lain adalah kontrak. Walaupun membeli gula-gula, itu pun adalah satu kontrak. Ini bermakna perniagaan kena ada keperihatinan berkenaan implikasi undang-undang di dalam belian atau jualan yang besar-besar agar kepentingan syarikat tidak terjejas.
Jika membuat pelaburan atau pun membeli perniagaan yang lain, di samping mengadakan ketekunan wajar (due diligence) kewangan, semakan ke atas perkara-perkara perundangan pun perlu dibuat sama agar risiko yang ada dikenal pasti dan diuruskan dengan baik.
Satu lagi aspek penting di dalam perniagaan sekarang ini ialah harta intelek. Perniagaan tidak boleh menggunakan harta intelek orang lain tanpa kebenaran pemiliknya. Sebaliknya, jika ia mempunyai harta intelek dan tidak menjaganya dengan betul, ia mungkin kehilangan hak ke atas harta berkenaan. Contoh yang lazim ialah nama perniagaan yang sudah menjadi jenama tetapi tidak didaftarkan. Pihak lain boleh melakukannya dan perniagaan kita mungkin terhalang dari menggunakan nama perniagaan yang kita bina selama ini.
Kesedaran mengenai pematuhan peraturan dan undang-undang adalah penting. Bagi perniagaan yang besar, biasanya ada penasihat undang-undang dan jabatan undang-undangnya yang tersendiri. Jika perlu, mereka juga mendapatkan perkhidmatan undang-undang dari luar.
Bagi perniagaan yang kecil, eloklah berkawan dengan peguam-peguam yang mahir di dalam bidang perniagaan kita. Bila perlu, kita boleh menggunakan perkhidmatan mereka. Eloknya, minta nasihat sebelum kita memasuki kontrak atau pun perjanjian, bukan mencari nasihat apabila masalah sudah muncul di hadapan mata.
Mahu tidak mahu, seorang usahawan yang memegang jawatan CEO kena peka dengan peraturan dan undang-undang supaya semua aspek perkara ini dipatuhi dan tidak menimbulkan masalah kepada perniagaan. Sebaliknya, peraturan dan undang-undang boleh memberi kelebihan kepada perniagaan sekiranya diuruskan secara proaktif dan berstrategik.