Jika kita menimbangkan kata-kata Einstein “kegilaan adalah mengharapkan pencapaian yang berbeza dengan usaha yang sama”, setiap perniagaan kena sentiasa mencari jalan untuk memperkembangkan pasaran, melicinkan operasi, mengukuhkan kewangan serta menambah nilai kepada pelanggan dan pihak yang berkepentingan (stakeholders).
Ini bermakna budaya inovasi dan kreativiti hendaklah dipupuk di setiap peringkat perniagaan supaya ada perubahan positif setiap masa. Tanpa budaya yang menerima baik pembaharuan, pandangan yang berbeza dan selesa untuk melakukan sesuatu yang baharu payah untuk inovasi dan kreativiti diterapkan di dalam perniagaan.
Saya mahu menggunakan definasi mudah ini untuk menerangkan maksud inovasi “melakukan sesuatu yang berlainan bagi menambah nilai dan kebaikan”. Berlainan bermaksud sesuatu yang berbeza dan juga baharu. Menambah nilai adalah tujuan inovasi kerana jika yang berlainan itu memusnahkan nilai, mengapa ianya diperlukan? Kebaikan pula bukan terhad setakat perniagaan dan pelanggan kita tetapi merangkumi pihak yang berkepentingan dan juga alam serta kehidupan yang lebih luas.
Perlu diingatkan di peringkat ini bahawa inovasi tidak terhad kepada perkara-perkara saintifik yang berasaskan teknologi tetapi merangkumi kesemua aspek termasuk memudahkan proses kerja secara manual, kaedah baharu di dalam latihan dan pendidikan serta cara melayan pelanggan dengan lebih mesra.
Yang nyata ialah inovasi memerlukan orang-orang di dalam perniagaan meninggalkan keselesaan yang sudah dirasai sekian lama dan melakukan sesuatu yang baharu demi membawa kebaikan seperti yang dibincangkan di atas. Inilah sebenarnya yang tidak disukai kerana biasanya ilmu baharu kena dipelajari, kemahiran baharu kena dibina dan sikap baharu kena diserlahkan di lapangan.
Seorang usahawan yang memegang fungsi CEO kena maklum bahawa dua perkara yang boleh menghalang kesuburan inovasi dan kreativiti di dalam perniagaan adalah:
- Sifat “We know everything (WKE)” iaitu orang-orang di dalam perniagaan berasa mereka sudah mahir di dalam perkara yang mereka urus dan jalankan dan tidak perlu apa-apa diubah; dan
- “Not invented here (NIH)” yang mana orang-orang di dalam perniagaan enggan untuk menerima pandangan atau pun cadangan dari luar semata-mata kerana ianya tidak difikir di dalam perniagaan berkenaan walaupun pandangan atau cadangan itu betul.
Jika WKE dan NIH ini bertapak kuat sebagai budaya perniagaan, CEO akan menghadapi cabaran yang berat untuk membawa idea-idea baharu serta pembaharuan-pembaharuan yang diperlukan oleh perniagaan untuk menghadapi persaingan dan menjadi lebih unggul dan lestari.
Salah satu sebab mengapa pembentukan strategi perniagaan memerlukan penglibatan ahli pasukan dari pelbagai lapisan kedudukan di dalam perniagaan ialah supaya mereka memahami apa yang perlu mereka lakukan untuk mencapai matlamat perniagaan. Adalah diharapkan supaya mereka akan meyakinkan orang-orang di dalam kelompok kawalan dan pengaruh mereka supaya bersetuju untuk menerima pembaharuan. Oleh kerana mereka terlibat dengan proses pembentukan strategi, adalah diharapkan keyakinan dan komitmen mereka di dalam melaksanakan strategi berkenaan lebih tinggi dan turut menjadi agen perubahan.
Menggalakkan ahli pasukan menjadi kreatif memerlukan suasana perkerjaan yang boleh menerima kesilapan dan kegagalan di dalam mencuba. Semua orang juga kena berfikir lebih terbuka dan tidak menolak idea-idea yang datang dari ahli pasukan yang lebih muda dan kurang berpengalaman. Mungkin itulah sebabnya mereka berani melalukan sesuatu yang baharu kerana masih belum taksub kepada amalan harian di dalam perniagaan.
CEO kena menjadi contoh kepada amalan berfikiran kreatif dan terbuka serta boleh menerima kesilapan selagi ianya tidak mendatangkan kemudaratan besar kepada perniagaan. Oleh kerana CEO biasanya amat berpengaruh, isyarat yang diberikan oleh CEO akan turut membentuk sikap yang sama di kalangan orang-orang yang lebih bawah.
Ada banyak kaedah yang boleh digunakan bagi menggalakkan inovasi dan kreativiti. Di antaranya ialah:
- Mengadakan pertandingan idea-idea baharu yang boleh menjadikan perniagaan lebih berdaya saing atau pun mengurangkan kos;
- Memperkenalkan sistem yang jelas bagaimana idea baharu boleh diperkembangkan sehingga diterap di dalam sistem dan proses perniagaan;
- Menjadikan perniagaan-perniagaan yang cemerlang di dalam atau luar industri sebagai tanda aras dan dibentuk kumpulan-kumpulan khusus untuk mengkaji dan mencadangkan idea-idea baharu hasil dari kajian berkenaan;
- Membawa masuk orang-orang yang boleh menjadi pemangkin kepada inovasi dan kreativiti samada sebagai ahli pasukan atau pun penasihat; dan
- Membeli perniagaan baharu yang sudah ada teknologi atau pun perkara-perkara asas yang boleh diterap ke seluruh perniagaan yang lain bagi meningkatkan inovasi dan kreativiti.
Oleh kerana pasaran dan industri sentiasa berubah, beroperasi dengan cara yang sama sepanjang masa akan mendedahkan perniagaan kepada pelbagai risiko. Oleh itu, inovasi dan kreativiti adalah budaya dan amalan penting yang perlu disemai dan disuburkan di dalam perniagaan. Ini harus dijadikan salah satu agenda CEO kerana dia berada di kedudukan yang baik untuk melihat apakah yang ada di sebalik ufuk dan apa yang perlu dilakukan oleh perniagaan untuk menghadapinya dan menjadi unggul.