Perniagaan kita banyak bergantung kepada kerjasama orang lain di dalam usaha untuk mencapai tujuan yang telah ditetapkan. Kita tentunya maklum akan pihak yang berada di atas rantaian bekalan kita dari pembekal sehinggalah pelanggan. Selain dari itu, banyak pihak yang berkepentingan yang mempunyai pengaruh ke atas perniagaan kita.
Ada juga pihak yang terkesan dengan aktiviti perniagaan walaupun mereka tidak berada di atas rantain bekalan mahu pun pihak yang mempengaruhi perniagaan. Di kebelakangan ini, peranan NGO-NGO di dalam pelbagai isu semakin menyerlah dan kumpulan ini kini menjadi satu pihak yang perlu disantuni jika ianya melibatkan mana-mana aspek operasi perniagaan kita.
Kita ambil contoh sebuah syarikat pembalakan. Kayu balak yang ditebang terletak di atas tanah yang diluluskan oleh kerajaan dan bayaran yang berkenaan sudah dibuat kepada kerajaan. Walau bagaimana pun, apabila hujan, tanah hutan mudah dibawa arus ke sungai yang berdekatan kerana tidak ada lagi pokok yang menjadi penghalang. Air sungai menjadi keruh dan ini boleh menyentuh pelbagai jenis kehidupan samada manusia mahu pun haiwan. Malah, orang yang tinggal di hilir sungai atau pun delta yang dilalui sungai yang terletak ratus batu dari tempat kita menebang balak masih boleh terkesan dengan aktiviti perniagaan kita.
Seorang usahawan yang berperanan sebagai CEO kena sensitif dengan kesan aktiviti perniagaan ke atas orang lain walaupun mereka tidak berinteraksi secara lansung dengan perniagaan kita. Tindak tanduk perniagaan akan mempengaruhi imej serta keyakinan dan kepercayaan orang lain kepada perniagaan. Dipercayai dan diyakini adalah satu aset yang amat bernilai dan perlu dipertahankan.
Isu-isu yang membabitkan alam (environment), masyarakat (social) dan tadbir urus (governance) menjadi kian penting memandangkan sektor swasta menjadi penjana pertumbuhan ekonomi di kebanyakan negara. Keuntungan dan nilai tambah perniagaan tidak boleh diasaskan kepada kerosakan alam, masyarakat yang terzalim serta kemungkaran korporat. ESG yang disebutkan di atas adalah selari dengan Maqasid Shariah.
Walaupun kita mengamalkan konsep ekonomi terbuka dan memberi peluang kepada sesiapa sahaja untuk berusaha dan mencapai kekayaan, isu tentang keadilan pengagihan hasil dan manfaat kepada masyarakat sudah menjadi satu perkara yang tidak boleh dilupakan. Jurang di antara orang yang berada dan miskin di dalam masyarakat semakin melebar menjadikan isu pengagihan kekayaan dan peluang lebih kritikal.
Bagaimana perniagaan berinteraksi dengan pekerjanya sebagai penyumbang potensi intelektual dan tenaga akan menjadi lebih penting di masa hadapan. Adakah kita masih terikat dengan kaedah konfrantasi seperti model Eropah atau pun kita mahu mencari model yang lebih adil dan lestari? Kesan Covid-19 ke atas pekerja boleh dijadikan satu kajian kes berkenaan kedudukan pekerja di dalam perniagaan.
Satu transisi sedang berlaku dari kapitalisma berteraskan pemodal (shareholder capitalism) kepada kapitalisma berteraskan pihak yang berkepentingan (stakeholder capitalism). Perniagaan tidak boleh memaksimakan keuntungan jika kosnya dibayar oleh masyarakat dan alam. Walaupun perdebatan ini bermula di negara Barat, ianya bukanlah satu tajuk yang asing kerana tujuan syariat Islam ialah menjaga nyawa, agama, akal,harta dan kehormatan. Sudah sampai masanya kita mentafsir Maqasid Shariah menjangkaui tafsiran klasik yang agak sempit.
Sektor perbankan kini sudah mula mengambilkira kesan perubahan iklim (climate change) di dalam penilaian kredit mereka. Malah syarikat-syarikat yang tersenarai juga menghadapi tekanan untuk menzahirkan langkah-langkah yang mereka ambil di dalam menangani isu perubahan iklim ini. Jika CEO tidak memandang ke hadapan dan menyediakan perniagaan supaya lebih mersa alam, ianya mungkin tidak dapat mengakses pasaran kewangan di masa hadapan.
Kesemua perkara-perkara di atas akan lebih terurus di dalam perniagaan yang mengamalkan tadbir urus yang cemerlang. Ini adalah kerana tujuan tadbir urus ialah bagi membantu perniagaan mencapai objektif strategiknya. Inilah sebabnya seorang CEO kena menyokong segala keperluan bagi mengukuhkan tadbir urus perniagaannya sebagai satu langkah menjadikan perniagaan lestari.
Bila perniagaan mempunyai matlamat yang lebih luas selain dari memaksimakan keuntungan dan merangkumkan juga ESG, indakator pencapaian utama yang digunakan pada peringkat korporat dan juga individu kenalah mengambilkira kesemua perkara itu. Jika hanya indikator kewangan digunakan, semua orang akan menumpukan kepada pencapaian kewangan dan akan meletakkan ESG di belakang.
Sekiranya kita mahu menjadikan perniagaan kita sebagai satu ibadah, kita kena pastikan natijah (outcome) dari aktiviti perniagaan kita tidak membawa keburukan kepada masyarakat dan alam. Ini adalah satu perkara yang penting dan sebagai anggota pengurusan tertinggi, tanggungwab untuk memacu perniagaan ke arah yang betul terletak di bahu CEO.