Walaupun kita dan orang-orang yang berada di dalam organisasi kita pandai-pandai dan hebat-hebat, sebagai insan, ilmu dan kemahiran kita ada hadnya. Kita tidak tahu semua perkara dan ramai lagi orang-orang di luar sana yang lebih arif dari kita di dalam pelbagai perkara.
Di dalam masa yang sama, pemikiran kita mungkin sudah terkotak kerana terlalu lama di dalam perniagaan atau pun kerana terlalu yakin dengan apa yang kita sedang laksanakan. Mungkin kita terlepas pandang berkenaan perubahan yang sedang berlaku di luar perniagaan atau pun susah untuk menerima pandangan yang berbeza dengan kefahaman dan kecenderungan kita.
Seorang CEO kena sanggup merujuk kepada pakar mahu pun orang-orang profesional yang lain bila ada keperluan. Jangan ada sikap “saya tahu semua” atau pun enggan untuk melalukan sesuatu yang betul hanya kerana “ianya bukan difikirkan di sini”. Itu semua tanda-tanda sombong.
Di dalam kerjaya saya setakat ini, saya mendapat manfaat dengan merujuk kepada pakar dan mendapatkan khidmat profesional dari luar. Ini adalah kerana mereka mereka boleh menilai perniagaan/organisasi kita secara bebas dan membawa cadangan-cadangan yang mungkin tidak pernah kita fikirkan atau pun berserta dengan kaedah pelaksanaan yang lebih berkesan.
Kita ambil contoh yang mudah, pencukaian. Sesebuah perniagaan kena menghadapi kehendak undang-undang sebagai pembayar cukai. Untung atau rugi itu perkara lain, yang pentingnya setiap perniagaan ada tanggungjawab untuk menyimpan rekod dan membuat pengisytiharan cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Bergantung kepada jenis perniagaan, ada juga cukai tidak lansung seperti eksais, duti kastam, duti setem dan macam-macam cukai lagi.
Biasanya seorang usahawan akan memberi lebih fokus kepada memperkembangkan perniagaannya dan mudah terlepas pandang berkenaan cukai. Hanya setelah beberapa tahu dan bila sudah diaudit oleh LHDN atau pun Kastam, barulah sedar akan tanggungjawab yang ada. Biasanya pada ketika itu sudah terlewat dan dikenakan denda pula.
Melantik ejen atau pun penasihat cukai pada awal perniagaan boleh membantu. Kita akan diberikan nasihat dan juga tunjuk ajar berkenaan bagaimana perniagaan kita mematuhi undang-undang cukai dan merancang perjalanan perniagaan supaya membayar cukai secara optima.
Sebenarnya setiap perkara di dalam pentadbiran, pengurusan dan kepimpinan perniagaan ada pakar-pakar yang boleh membantu. Di dalam masa yang sama, seorang CEO kena pandai memilih mana yang lebih diperlukan kerana kos mendapatkan perkhidmatan pakar tidak murah.
Mendapatkan pandangan pakar tidak bermakna kita tidak membina kepakaran dalaman di dalam perniagaan. Malah, adalah penting untuk kita membawa masuk orang-orang yang berilmu dan berkemahiran bagi menguruskan fungsi-fungsi penting di dalam perniagaan. Mereka ini pun kena sentiasa membangunkan diri mereka dan memperkembangkan kemahiran masing-masing. Pakar-pakar luar yang dibawa masuk hanyalah menampung apa yang kurang atau pun memberikan pandangan bebas yang mungkin sama atau tidak sama dengan pandangan orang dalam.
Kadang kala, pakar luar dibawa masuk untuk mewujudkan fungsi perniagaan yang baharu atau pun mengubah apa yang ada kepada yang lebih baik. Ini termasuk membentuk strategi, polisi, proses dan juga melatih ahli pasukan perniagaan supaya mampu menjalankan fungsi baharu berkenaan. Jika nak dilakukan secara dalaman, ini mungkin memakan masa.
Di samping membawa penyelesaian kepada masalah perniagaan, pakar atau pun orang-orang profesional dari luar boleh juga memindahkan ilmu dan kepakaran mereka kepada ahli pasukan kita. Malah, perpindahan ilmu ( knowledge transfer) harus dijadikan salah satu syarat di dalam kontrak dengan pakar luar. Walau bagaimana pun, kena adalah orang dalam yang mempu menerima ilmu yang mahu dipindahkan itu. Jika tiada, proses pemindahan ilmu ni akan jadi sia-sia.
Membawa masuk pakar juga tidak bermakna seorang CEO boleh melepaskan tanggungjawab beliau (abdicate) di dalam membuat keputusan. Adalah penting kita terlibat dengan mendalam di dalam proses ini terutamanya di dalam perkara-perkara yang melibatkan tanggungjawab CEO seperti strategi dan operasi yang kritikal. Memangkah senang untuk lepas tangan sahaja dan ikut apa yang dicadangkan oleh pakar tetapi kita kena ingat, kejayaan perniagaan adalah di bawah tangannl CEO.
Satu kaedah yang makin giat diamalkan sekarang ialah penyumberluaran (outsourcing). Di dalam kaedah ini, perkhidmatan tertentu diambil dari luar dan tidak lagi diwujudkan di dalam perniagaan. Kaedah ini boleh juga dilaksanakan di dalam bidang-bidang yang memerlukan kepakaran. Apa yang perlu dilakukan oleh CEO ialah menilai baik buruk (cost-benefit analysis) serta risiko kepada perniagaan jika ada fungsi-fungsi perniagaan diambil dari luar.
Pemilihan pakar mana yang mahu kita dapatkan perkhidmatan mereka juga penting. Kena nilai kepakaran dan pengalaman agar bersesuaian dengan perniagaan kita. Rujuklah kepada pihak lain yang sudah ada pengalaman berurusan dengan mereka dan fahami kekuatan dan kelemahan pakar perkenaan. Nama yang popular tidak semestinya bagus dan sesuai dengan apa yang kita cari.
Kepakaran dari luar boleh membantu untuk mengukuhkaMindan lagi perniagaan. Seorang CEO kena mampu untuk menentukan perkara mana yang boleh diselesaikan secara dalaman dan apa yang memerlukan bantuan pakar dari luar. Kaedah perkhidmatan pakar juga penting dan seharusnya orang yang berada di dalam mendapat ilmu dan kemahiran baharu bila pakar luar digunakan oleh perniagaan.