Teknologi adalah salah satu dari pemacu perubahan (change driver) yang telah dan akan memberik impak yang besar ke atas mana-mana perniagaan. Ianya bukan sahaja memudahkan proses tetapi membolehkan sesuatu yang baru menjadi kenyataan.
Sebagai contoh, sebelum ini sebuah perniagaan kena membelanjakan dana yang besar untuk mengiklankan perniagaan melalui akhbar-akhbar, stesen televisyen dan stesen radio nasional. Tu pun belum tentu sampai kepada bakal-bakal pelanggan yang disasarkan. Sekarang, kita boleh memfokuskan iklan-iklan kita kepada pelanggan dengan tepat dan boleh mendapatkan maklumbalas mereka.
Malah, syarikat-syarikat teknologi sudah menjadi perniagaan yang besar-besar dan nilainya berganda-ganda berbanding dengan syarikat yang dikira “lama”. Salah satu cara untuk menjadikan sebuah perniagaan lebih unggul di ketika ini ialah dengan melabur dan memiliki teknologi yang lebih berkemampuan berbanding dengan pesaing.
Ada juga syarikat yang hanya menawarkan platfom kepada perniagaan-perniagaan lain untuk menjalankan urusan masing-masing. Di zaman Covid-19 ini, Grab, Lalamove dan Food Panda menjadi pemudah kepada restoran-restoran dan peniaga makanan untuk menjual makanan mereka kepada pelanggan yang berada di pelbagai lokasi. Orang yang menghantar makanan adalah kontraktor bebas. Model perniagaan ini menjadikan lokasi tidak begitu penting lagi. Yang mustahak ialah akses kepada teknologi dan kewujudan (visibility) di kalangan bakal pelanggan di pelbagai platfom.
Skrin telefon yang kecil itu sudah menjadi pintu yang besar untuk membeli belah dan mendapatkan maklumat berkenaan barangan yang dihajati. Lebih dari itu, jenis telefon yang digunakan pun menjadi pembeza di dalam mencari pelanggan. Pelanggan yang menggunakan telefon iOS boleh jadi berbeza dengan pelanggan yang menggunakan telefon android.
Reputasi perniagaan yang dibina selama ini boleh dirosakkan di dalam masa yang singkat jika berlaku perkara-perkara yang boleh ditularkan di media sosial. Benda buruk lebih cepat merebak berbanding dengan benda baik. Ini mengkehendaki perniagaan mempunyai kesiap sediaan untuk menjaga reputasinya setiap kali ada cubaan untuk mencalarkannya.
Isu keselamatan siber (cybersecurity) pula tidak boleh dipandang ringan. Sistem yang tidak dijaga dengan teliti mudah dicerobohi dan perniagaan akan mengalami kerugian yang besar apabila diserang. Mewujudkan pertahanan siber yang kukuh sudah menjadi kemestian setiap perniagaan.
Di dalam perniagaan yang besar-besar, jawatan Chief Technology Officer sudah menjadi satu jawatan yang lazim. Kemudian muncul jawatan Chief Information Security Officer (CISO) kerana perniagaan boleh dibolosi dan diserang secara siber bila penggunaan teknologi semakin meluas. Bila kita masuk ke era data, wujud pula jawatan Chief Data Officer yang kerjanya mempastikan perniagaan mempunyai data-data yang bernilai tinggi bagi membantu perniagan mencapai halatuju strategik yang telah ditetapkan.
Mahu tidak mahu, perubahan teknologi akan terus berlaku dan memberi impak ke atas perniagaan yang dipimpin oleh seorang CEO. Ini memerlukan usahawan yang berperanan sebagai CEO untuk menjadi seorang yang celik teknologi dan faham akan peluang dan risiko yang timbul dengan berubahnya teknologi.
Ini bukan pula bermakna seorang CEO kena kembali ke sekolah dan belajar berkenaan teknologi dan sebagainya. Dia boleh sahaja membawa masuk orang yang ada kepakaran dan juga mendapatkan khidmat perunding dari luar. Yang menjadi cabaran ialah mencari siapa orang yang boleh menjadi menasihat dan perunding itu?
Satu cabaran baharu perniagaan ialah untuk menetapkan kepakaran apa yang perlu ada di dalam dan kepakaran mana yang boleh disumberkan dari luar. Keseimbangan ini akan menentukan kaedah operasi dan juga kos yang akan ditanggung.
Sudah menjadi kelaziman kepada perniagaan untuk mempunyai “Technology Blueprint” yang akan menjadi peta yang akan diikuti oleh perniagaan di dalam memperkembangkan perniagaannya. Walau bagaimana pun, rangka tindakan ini tidak berdiri dengan sendiri. Ianya kena bersesuaian dengan pelan strategik perniagaan berkenaan. Oleh itu, pelan strategik jangka panjang perlu dirangka terlebih dahulu sebelum “Technology Blueprint” boleh dibentuk.
Teknologi akan terus berkembang dan memberi impak yang besar kepada mana-mana perniagaan. Ianya akan mencabar kelestarian model perniagaan yang digunapakai dan membentuk cara persaingan baharu di dalam pasaran. Selain dari memudahkan proses, teknologi juga boleh menimbulkan pelbagai risiko baharu. Kesemua ini adalah satu cabaran kepada CEO yang perlu melayarkan perniagaan ke arah yang disasarkan.