Mempelopori Perniagaan Sebagai Satu Ibadah

Sebagai seorang usahawan Muslim, kita kena ingat kita mempunyai dua tanggungjawab kepada Allah yang mencipta kita. Yang pertama ialah sebagai hamba dan yang kedua sebagai khalifah di muka bumi ini.

Sebagai hamba kita kena beribadah kepada Allah seperti mana yang telah diajar oleh Rasulullah SAW. Sebagai khalifah, kita pula kena menjalani kehidupan mengikut kehendak Allah SWT. Ini bermakna, setiap apa yang kita lakukan setiap masa, termasuk perniagaan dan juga pekerjaan kita, kenalah memenuhi kedua-dua tanggungjawab di atas.

Jika kita teliti kembali sahabat-sahabat Rasulullah SAW, ramai di antara mereka terlibat dengan perniagaan, menjadi usahawan yang berjaya dan membiayai perkembangan Islam dari hasil keusahawan mereka. Di antara yang terkenal adalah Uthman ibnu Affan dan juga Abdul Rahman ibnu Auf. Sumbangan Uthman ibnu Affan melalui wakafnya dapat dinikmati oleh orang Islam sehingga hari ini.

Oleh itu, seorang usahawan yang juga menjadi CEO perniagaannya bertanggungjawab untuk membentuk perniagaan yang selari dengan kedua-dua tanggungjawab di atas. Ini akan sukar dilakukan jika usahawan demikian tidak memiliki ilmu yang cukup untuk tahu apa yang perlu dia lakukan bagi menjadikan perniagaan itu satu ibadah. Salah satu jalan singkat ialah dengan melantik penasihat Shariah yang boleh memandu perniagaan agar ianya dijalankan di atas landasan Shariah.

Sudah ada perniagaan yang mewujudkan jabatan atau pun unit Shariah yang bertujuan untuk memastikan prinsip-prinsip Shariah diikuti di dalam proses dan juga urusniaga perniagaan. Ini termasuk penilaian produk, kontrak, pelaburan dan kaedah operasi perniagaan itu sendiri. Tentunya jabatan atau pun unit ini perlu diisi dengan orang yang arif tentang Shariah dan mampu menerapkan prinsip Shariah di dalam perniagaan seperti yang dikehendaki. 

Jabatan Shariah hendaklah diberi kebebasan sama seperti Jabatan Audit dan juga Jabatan Pengurusan Risiko. Di dalam perniagaan yang besar ada diwujudkan jawatankuasa penasihat Shariah yang terdiri dari pakar-pakar agama yang faham perniagaan. Jabatan Shariah melapor cadangan dan hasil kerja mereka kepada jawatankuasa ini.

Di samping tidak menjual produk yang tidak halal, perniagaan juga kena menjauhi perkara-perkara gharar dan juga riba. Perniagaan juga tidak boleh dijalankan dengan menipu, rasuah dan tidak betul dari segi sukatan dan seumpamanya. Dengan kefahaman yang jelas berkenaan kehendak Islam di dalam muamalah, perniagaan kita akan distrukturkan dengan kaedah yang lebih dengan dengan kehendak Allah dan ajaran Rasulullah. 

Kefahaman berkenaan perniagaan sebagai ibadah hendaklah diberikan kepada semua warga perniagaan bermula dengan pengurusan kanan. Adalah diharapkan mereka akan menjadi contoh kepada orang lain dan menjadikan ini sebagai budaya di dalam perniagaan. Jika semua warga perniagaan faham bahawa apa yang mereka kerjakan setiap hari adalah ibadah, adalah diharapkan mereka akan melakukan dengan tekun dan khusyuk sama seperti mereka solat dan berpuasa.

Sebenarnya kebanyakan amalan di dalam perniagaan selari dengan Maqasid Shariah. Kita ambil satu contoh yang mudah, kawalan dalaman. Objektif kawalan dalaman ialah supaya harta perniagaan terjaga, digunakan mengikut tujuan mereka dan menambah nilai kepada perniagaan. Ini amat dekat dengan maqasid menjaga harta yang ada di dalam Shariah. Prinsip yang sama juga terpakai kepada pengurusan risiko.

Oleh kerana masa yang digunakan oleh warga perniagaan di dalam kerja harian mereka adalah sebahagian besar dari kehidupan mereka, mereka perlu disedarkan bahawa itu juga adalah peluang untuk melakukan ibadah. Setiap orang bermula dari kerani, eksekutif, pengurus dan pengurusan kanan harus mengambil peluang ini sebagai tanggungjawab kita sebagai hamba Allah dan khalifah Allah.

Satu lagi aspek penting di dalam menjadikan perniagaan kita sebagai ibadah ialah impak perniagaan kepada alam sekitar dan masyarakat. Membuat keuntungan tidak semestinya membelakangkan kepentingan awam seperti mencemarkan alam, membawa mudarat kepada haiwan dan juga menindas pekerja. Jika orang-orang di Barat merujuk kepada prinsip ESG (environment, social, governance), jika mempunyai konsep yang lebih kuat, Maqasid Shariah.

Cabaran utama bagi seorang CEO di dalam menjadikan perniagaan sebagai ibadah ialah meyakinkan warga perniagaan berkenaan hal ini. Kita mungkin berasa pelik kerana masyarakat kita nampaknya macam sentiasa mendesak supaya Islam dilaksanakan di situ dan di sini. Adakah kita yakin mereka buat seperti apa yang mereka cakap dan desak?

Kita ambil satu jenayah yang tidak ada khilaf mengenainya, rasuah. Adakah masyarakat Islam kita benar-benar membenci rasuah dan mengira ianya satu perbuatan yang jijik? Rasuah adalah jenayah “menang-menang”, pemberi dan penerima mendapat apa yang mereka kehendaki. Siapakah yang menjuarai rasuah di negara kita?

Cakap dan benar-benar buat adalah dua perkara yang berbeza. Kalau tak buat, tiadalah hasil. Oleh itu, CEO kena meneruskan usaha untuk menjadikan perniagaan sebagai ibadah walaupun ianya akan mengambil masa yang lama sebelum konsep ini menjadi darah daging perniagaan.