Membentuk Nilai Dan Budaya

Seorang CEO berada di puncak mana-mana organisasi. Oleh kerana kedudukannya itu tentulah dia mempunyai banyak kuasa untuk membuat keputusan. Dia juga menjadi rujukan kepada arah tuju dan juga salah betul.

Di dalam konteks masyarakat kita yang mana jurang kuasa (power distance) amat lebar, orang yang di atas akan mempengaruhi gerak kerja dan tingkah laku orang di bawahnya. Malah, menghinakan diri untuk meninggikan orang di atas dianggap satu perkara yang amat mulia.

Lama-kelamaan, ini semua akan mempengaruhi kepercayaan orang-orang bawah tentang apa yang betul dan salah serta tingkah laku yang dianggap diterima dan membawa kesukaan kepada orang di atas. Ini akhirnya akan membentuk budaya di dalam organiisaisi atau pun perniagaan.

Oleh itu seorang usahawan yang menjalankan fungsi sebagai seorang CEO amat berpengaruh di dalam membentuk nilai dan budaya di dalam perniagaannya. Setiap keputusan, arahan, saranan, cara menilai prestasi, cara berhubung dan berkomunikasi dan lain-lain tingkah laku harian CEO akan diperhatikan dan akhirnya diterjemahkan ke dalam gaya kerja di dalam perniagaannya oleh anak-anak buah yang dijaganya.

Jika seorang CEO mahu semua orang di dalam perniagaannya sentiasa fokus kepada matlamat dan strategi syarikat, dia kena sentiasa berkongsi berkenaan perkara-perkara itu di dalam setiap interaksi dengan pekerja di pelbagai peringkat. Kaedah penilaian prestasi pun kena nampak selari dengan halatuju dan strategi sehingga akhirnya semua orang akan jelas apakah yang harus mereka usahakan dan balasan (rewards) yang akan diterima bila mencapainya.

CEO juga kena berhati-hati bila ada perkerja yang menggunakan kaedah yang tidak betul atau melanggar undang-undang di dalam mencapai sasaran yang ditetapkan oleh CEO. Jika CEO hanya mendiamkan diri atau pun memberi balasan yang tinggi kepada pekerja berkenaan, orang-orang lain akan membaca bahawa semua perkara, tidak kira salah atau betul, boleh dilakukan asalkan matlamat perniagaan tercapai. Akhirnya, akan berlakulah pelbagai kemungkaran di dalam perniagaan itu walaupun dari segi prestasi mungkin cemerlang. Lama mana kecemerlangan ini boleh bertahan?

Jika seorang CEO berkeras cara yang disukainya sahaja yang betul dan tidak suka mendengar pandangan orang lain, lama kelamaan anak-anak buah akan hanya menurut perintah CEO tanpa banyak soal. Kalau suruh terjun lubang pun mereka terjun kerana takut kepada CEO. Adakah ini akan menjadikan perniagaan lebih kukuh dan berdaya maju untuk tempoh yang berpanjangan?

Nilai dan budaya yang diamalkan di dalam perniagaan akan mempengaruhi jenis insan yang akan tertarik untuk bekerja di situ. Orang yang tidak suka disuruh sahaja tidak akan memilih organisasi yang mana semuanya kena buat mengikut cara CEO tanpa soal. Sebaliknya, orang yang malas berfikir akan menjauhi organisasi yang mengkehendaki dia sendiri mencari jalan untuk mencapai objektif perniagaan manakala CEOnya hanya menentukan arah tujuan dan menerangkan strategi secara kasar sahaja.

Budaya merupakan cabaran utama mana-mana CEO. Yang merumitkan lagi ialah budaya bukannya sesuatu yang terpampang di dinding. Seorang CEO kena mampu membaca apakah budaya yang ada di dalam perniagaan yang dipimpin. Apa yang berlaku di dalam mesyuarat, bagaimana arahan dilaksanakan, apa tindakan orang bawah bila hasil yang dikehendaki tidak tercapai, amalan-amalan buruk seperti ampu dan rasuah, semuanya kena ditafsirkan bagi memberi CEO kefahaman berkenaan apa yang lazim di dalam perniagaan berkenaan. Kalau salah baca dan tafsir, masalah juga.

Mahu tidak mahu, sebagai seorang pemimpin, seorang usahawan yang menjalankan peranan sebagai CEO kena mengambil tanggungjawab di dalam pembentukan nilai dan budaya di dalam perniagaannya. Dia kena tunjukkan nilai-nilai baik yang dikehendakinya. Selepas itu, setiap tingkah laku CEO kenalah selari dan bersesuaian dengan nilai-nilai berkenaan. Janganlah pula jadi seperti ketam yang mahu mengajar anaknya berjalan dengan betul.

Macam anak-anak kita, ahli-ahli pasukan kita akan lebih terpengaruh dengan apa yang kita buat, bukan apa yang kita kata tetapi kita sendiri pun tak pernah buat.