Di antara perkara utama yang membantu seorang CEO untuk menjalankan tanggungjawabnya ialah mendapatkan kefahaman yang jelas berkenaan kedudukan perniagaan yang diterajuinya.
Melalui kefahaman ini, dia boleh mengetahui arah mana perniagaan sedang ditujukan, apakah yang menjana nilai kepada pelanggan, siapa yang kena buat apa, apa perkara-perkara besar yang perlu kita jaga dan pihak mana yang boleh membantu serta yang mana pula yang akan menimbulkan masalah.
Di antara langkah-langkah yang boleh membantu bagi memahami kedudukan sebenar perniagaan ialah:
- Memahami industri yang diceburi. Ini termasuk mengenal pasti siapa pelanggan yang besar-besar, siapa pembekal yang besar-besar, dengan siapa kita bersaing dan apakah yang menjadi penjana nilai di dalam industri berkenaan? Apakah faktor-faktor utama yang akan mempengaruhi industri? Ke manakah arah tuju industri secara keseluruhannya.
- Siapakah ahli pasukan yang kita pimpin? Ini bukan setakat mengenali mereka dan tahu kelulusan yang mereka ada. Kita kena juga mengenali mereka dengan lebih dekat dan menilai kelebihan dan kelemahan mereka serta potensi yang boleh diperkembangkan. Adakah mereka berada di posisi yang betul? Apakah budaya yang mempengaruhi kebanyakan insan di dalam perniagaan?
- Memahami model perniagaan yang diamalkan. Biasanya ini tidak terlulis di atas kertas tetapi kita kena tahu bagaimana perniagaan menjana nilai yang dibayar oleh pelanggan yang membawa keuntungan. Apakah proses-proses utama, siapa yang menguruskan proses-proses ini, adakah ianya berkesan dan bolehkan proses-proses ini ditambah baik?
- Apakah kedudukan kewangan perniagaan? Adakah perniagaan mempunyai sistem pelaporan kewangan yang membolehkan kedudukan dan pencapaian kewangan terkini diketahui dengan mudah? Aliran tunai bagaimana? Ada hutang-hutang kritikal? Cukupkah dana yang ada bagi membiayai operasi dan perbelanjaan modal yang perlu?
- Bagaimanakah kedudukan ekosistem di sekeliling perniagaan kita? Ada peraturan-peraturan penting yang perlu dipatuhi? Bagaimana tahap kepatuhan? Ada perkara-perkara terbaharu yang boleh membuka peluang atau pun menjejaskan perniagaan?
Apa yang disarankan di atas adalah contoh-contoh perkara yang perlu diketahui dan difahami oleh seseorang CEO bagi membolehkan dia menentukan hala tuju perniagaan. Tentunya bagi perniagaan yang berbeza, ada lagi perkara-perkara yang perlu ditambah. Ianya bukan senarai semak yang lengkap. Kita seharusnya berasa takut jika seorang CEO bergantung kepada senarai semak. Ini bermakna dia memerlukan panduan bagi setiap tindakan dan tidak mampu membuat keputusan sendiri berdasarkan data dan fakta yang ada kepadanya.
Kita kena ingat, seorang CEO kena selesaikan masalah yang betul-betul, bukan masalah bayangan dan tidak boleh terpesona dengan bisikan-bisikan yang menyenangkan dari orang-orang yang mahu kita berasa seronok. Tanpa mengetahui kedudukan sebenar perniagaan berdasarkan data dan fakta, CEO mungkin boleh tersilap di dalam membuat keputusan.
Ini bermakna kita perlu mendapatkan maklumat dan data yang berkualiti dan boleh digunakan sebagai asas kepada apa-apa sahaja keputusan eksekutif yang kita buat. Oleh yang demikian proses menilai data dan kaedah mentafsir data dan maklumat perlu diwujudkan supaya tidak ada perkara yang terlepas pandang.
Turun ke lapangan dan menilai dan memehami sendiri apa yang sebenarnya yang berlaku di bawah sana adalah satu kemestian. Ini membolehkan kita membandingkan realiti yang ada berbanding dengan laporan yang kita terima. Memahami apa-apa jurang yang ada akan membantu kita bila kita membuat keputusan di masa hadapan.
Oleh kerana dunia ini amat dinamik, perkara-perkara di atas pun akan sentiasa berubah. Seorang CEO kena ada jalan bagi mengetahui apa yang sudah dan akan berubah dan mempunyai kejelasan berkenaan tindakan yang perlu dibuat untuk menjamin perniagaan tetap teguh.