Sebagai orang yang tertinggi di dalam hiraki pengurusan, seorang CEO kena bersedia untuk membuat keputusan-keputusan penting dan sukar pada masa yang tepat. Keputusan yang tepat tetapi lewat mungkin elok sikit sahaja berbanding dengan tidak membuat apa-apa keputusan. Malah, tidak membuat keputusan tu macam CEO sudah bersetuju untuk membiarkan masalah diselesaikan dengan cara “harap-harap” sahaja.
Jika seorang CEO benar-benar memahami perniagaan dan kedudukan ekosistem perniagaan, dia sudah boleh mengagak isu-isu besar yang akan timbul. Jarang sekali berlaku perkara luar jangka yang tidak boleh dibayangkan oleh CEO. Ini bermakna, dia sepatutnya boleh memikirkan isu-isu berkenaan lebih awal sebelum keadaan betul-betul mendesak.
Di alam akademik kita diberikan satu masalah untuk diselesaikan. Jadi, kita boleh terus mencari penyelesaian kepada masalah yang diberikan itu. Di alam nyata, kita kena pastikan bahawa kita ada masalah, kenal pasti masalah dengan tepat sebelum kita menyelesaikannya. Jika kita salah baca keadaan, kita mungkin menyelesaikan perkara yang bukannya masalah. Kita membawa solusi yang mencari maslah sedangkan masalah yang ada masih berterusan.
Satu perkara penting di dalam mengenalpasti dan menyelesaikan masalah serta membuat keputusan ialah dengan mempunyai data dan maklumat yang berkualiti berkenaan isu yang hendak ditangani. Ini bermakna, isu atau masalah kenalah difahami dengan jelas, pilihan-pilihan yang ada diperhalusi dan data serta maklumat yang berkenaan dengan isu dan cadangan dikenalpasti dan didapatkan dengan secukupnya.
Bila kita mengutip data dan maklumat, kita kena jujur dengan apa yang kita jumpa. Jangan hanya kumpul yang berkenan di hati sahaja dan membiarkan data dan maklumat yang tidak selari dengan kehendak dan pandangan kita begitu sahaja. Ini hanyalah menipu diri sendiri.
Sumber data dan maklumat mestilah jelas dan kukuh dan bukan dari sumber-sumber yang tidak tentu asal usulnya. Di zaman media sosial ini, ada banyak perkara yang lebih didorong oleh emosi dan agak-agak. Ini bukan sumber yang baik untuk dijadikan asas keputusan.
Orang yang diberikan tugasan untuk mencari data dan maklumat harus faham bagaimana mereka akan digunakan. Ini memerlukan data dan maklumat yang diperolehi diproses dan disusun dengan betul bagi membantu CEO memahami makna di sebalik data dan maklumat berkenaan.
Di dalam banyak keadaan, kita kena membuat keputusan di dalam keadaan yang tidak sempurna seperti data dan maklumat yang tidak cukup, analisa kurang terperinci, masa yang terhad dan pelbagai cabaran lagi. Di dalam situasi ini, seorang CEO kena timbangkan di antara risiko membuat keputusan yang lewat dengan risiko membuat keputusan yang tidak berapa tepat. Kalau tak selesa untuk membuat keputusan di dalam keadaan begini, baik cari CEO baharu.
Sebuah perniagaan yang baik seharusnya mempunyai sistem yang sentiasa mengumpulkan data dan maklumat yang penting supaya kebanyakan data dan maklumat sudah tersedia apabila diperlukan. Ini mengkehendaki pihak pengurusan sentiasa memandang ke hadapan dan menjangkakan apakah keputusan-keputusan penting yang mereka kena buat. Di situ bolehlah ditentukan data dan maklumat apa yang harus dikumpul, siapa yang akan mengumpul dan menyusunnya, bagaimana ianya dianalisa dan bagaimana dilaporkan kepada pihak pengurusan.
Di kebelakangan ini, sudah banyak organisasi yang mempunyai Ketua Pegawai Data. Ini adalah kerana data dan maklumat penting kena sentiasa di dapatkan dan disusun dengan baik supaya mereka boleh digunakan apabila diperlukan. Sistem operasi perniagaan juga harus diubahsuai jika perlu supaya data dan maklumat penting yang berkualiti dapat diproses dengan betul.
Walaupun seorang CEO itu mempunyai banyak pengalaman, keputusan yang baik perlu disokong dengan data dan maklumat yang berkualiti. Jika tidak, risiko membuat keputusan secara agak-agak sahaja menjadi tinggi.
Emosi yang tinggi juga boleh menjadi penyebab kita membuat keputusan yang silap walaupun data dan maklumat serta cadangan yang ada di depan mata, berkualiti dan tepat.
Satu perkara lagi, CEO juga kena objektif dan tidak boleh memanipulasi data dan maklumat supaya sesuai dengan keputusan yang sudah ditetapkan, walaupun mungkin menjejaskan kepentingan perniagaan. Ni sudah kes berat. Jika CEO ini adalah pemilik perniagaan, dia boleh membunuh perniagannya sendiri.
Keputusan yang tepat tidak semestinya popular dan keputusan yang popular pula tidak semestinya tepat. CEO kena buat keputusan yang terbaik bagi faedah perniagaan dan pemegang saham, bukan unsur-unsur luaran yang tak ada kena mengena. Baik hilang kerja dari membuat keputusan yang bermasalah, terutamanya di hadapan Allah di Akhirat nanti.