Minda Pengelola diasaskan kepada tanggungjawab CEO yang luas dan berat itu sendiri. Disebabkan kedudukannya sebagai pegawai eksekutif yang tertinggi, seorang CEO akan menjadi pencetus pelbagai perkara di dalam perniagaan. Oleh itu seorang CEO perlu memahami konsep pengelolaan dengan jelas.
Disebabkan tanggungjawab yang berat inilah, segala beban yang ada kena berhenti di meja CEO. Itulah harga yang kena dibayar apabila kita memegang tampuk kuasa. Walaupun mungkin ada keputusan-keputusan yang menjadi hak lembaga pengarah mahu pun pemegang saham, tanggungjawab CEO ialah untuk meyakinkan mereka bahawa cadangan-cadangan dari pengurusan adalah yang terbaik untuk perniagan dan perlu disokong.
Disebabkan tindakan yang betul tidak semestinya mempopularkan, CEO kena berani dan tegas di dalam perkara ini. Tentunya keputusan sebegini memerlukan asas yang kukuh dan diterangkan kepada pihak yang berkaitan dengan jelas dan terperinci.
Bagi membolehkan CEO mengambil tindakan yang diperlukan untuk membina perniagaan, dia perlu membina kepercayaan dan keyakinan pelbagai pihak lain ke atas dirinya dan perniagaan. Perlu diingat, di era media sosial ini, kepercayaan dan keyakinan orang mudah diruntuhkan disebabkan pelbagai berita dan maklumat tidak benar yang mudah tersebar. Mempunyai kaedah untuk mengatasi cabaran ini adalah satu keperluan.
Perniagaan sentiasa diselubungi oleh pelbagai risiko. CEO kena mempastikan pengurusan risiko perniagaan berjalan dengan berkesan. Ini membolehkan sebarang risiko besar ditangani sebelum parah dan peluang yang muncul dapat dimanfaatkan oleh perniagaan.
Menanam kefahaman perniagaan sebagai satu ibadah juga adalah satu tanggungjawab CEO yang utama. Ini adalah kerana dimensi ini sering diabaikan di kalangan umat Islam yang merupakan hamba Allah dan khalifah di muka bumi ini. Perniagaan perlu dijadikan sebagai platfom penyebar rahmat melalui barangan dan perkhidmatan yang bermanfaat yang ditawarkan kepada pelanggan serta khidmat perniagaan kepada masyarakat dan alam.
Nilai dan budaya perniagaan dipengaruhi oleh orang-orang yang berada di atas. Di sinilah pentingnya CEO menghidupkan nilai-nilai suci dan menggalakkan budaya yang positif dan sihat melalui tindakan, keputusan dan saranan-saranannya sebagai orang nombor satu di dalam perniagaan.
Sila tonton video ringkas berkenaan Minda Pengelola.
