Site icon Minda CEO

Ilmu

Ilmu Asas

Untuk mentadbir, mengurus dan memimpin perniagaan, seorang CEO perlu ada asas-asas ilmu berkenaan aspek-aspek penting perniagaan supaya dia tahu keperluan untuk menjadikan perniagaan yang diamanahkan kepadanya berkembang dan menjadi sebuah perniagaan yang lestari. Sejauh mana ilmu-ilmu ini harus dipelajari bergantung kepada keperluan perniagaan itu sendiri.

Asas-asas perniagaan

Ada beberapa aspek perniagaan yang perlu dijelaskan di sini supaya seorang CEO memahami bahawa perniagaan mempunyai beberapa asas-asas penting ia itu:

  1. Menyelesaikan masalah pelanggan dan menambah nilai dari kaca mata pelanggan;
  1. Menjana keuntungan dan pulangan di atas pelaburan kepada pihak yang membekalkan modal bagi menubuhkan dan membiayai operasi perniagaan berkenaan.
  1. Menyebar rahmat dengan menjadikan perniagaan sebagai ibadah dan sumber pahala selari dengan status kita sebagai hamba Allah dan khalifah di muka bumi ini.

Bagi mencapai tujuan-tujuan di atas, mana-mana perniagaan kena disusun dengan betul agar ianya mampu menjana nilai dan memenuhi kehendak pelanggan serta pelabur. Susunan aktiviti yang menjana nilai yang akhirnya dirasai oleh pelanggan ini ialah model perniagaan bagi perniagaan berkenaan.

Sila tonton video berkenaan 3 inti pati perniagaan seperti yang dinyatakan di atas.

Model perniagaan

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, bagaimana sesebuah perniagaan menyusun aktiviti-aktivitinya serta hubungan dengan pelbagai pihak bagi menjana penyelesaian dan nilai sehingga sampai kepada pelanggan yang disasarkan boleh digambarkan di dalam kanvas model perniagaan seperti yang dikongsikan di dalam rajah di bawah.

Selain dari menjelaskan proses penjanaan nilai, kanvas model perniagaan ini juga memberikan gambaran berkenaan bagaimana pendapatan akan diperolehi serta kos yang akan ditanggung. Ini semua akan memberikan kejelasan bagaimana perniagaan ini menjana keuntungan dari kesemua aktiviti dan proses yang terlibat. 

Model perniagaan boleh berbeza dari satu perniagaan ke satu perniagaan yang lain walaupun berada di dalam industri yang sama. Berbezaan model perniagaan ini akan mempengaruhi bagaimana barangan atau perkhidmatan dikeluarkan atau dijana serta keberuntungan dari segi kewangan. Hubungan di antara perniagaan dan lain-lain pihak berkepentingan samada secara komersil atau lain-lain sebab akan dapat diperhatikan dengan jelas.

Tahap perkembangan perniagaan

Kompleksiti pentadbiran, pengurusan dan kepimpinan perniagaan juga bergantung kepada tahap perkembangannya. Rajah di bawah memberikan contoh bagaimana sesebuah perniagaan melalui fasa-fasa perkembangan dari peringkat permulaan sehinggalah ianya menjadi sebuah perniagaan global. Ia juga memberikan gambaran bahawa sekiranya perniagaan tidak mampu menghadapi halangan-halangan untuk naik ke tahap yang lebih tinggi, perkembangan perniagaan akan mendatar atau pun boleh mula menurun.

Setiap perniagaan boleh berada di tahap perkembangan dan kematangan yang berbeza

Setiap fasa perkembangan perniagaan mempunyai keperluan yang tersendiri dari segi pentadbiran, pengurusan dan kepimpinan. Oleh yang demikian seorang CEO perlu faham akan keperluan perniagaannya di tahap yang berkenaan dan mengambil maklum akan perkara berkenaan di dalam membuat keputusan dan mengambil tindakan.

Interaksi dengan pihak-pihak berkepentingan

Walaupun secara nyatanya pihak yang berurusan kepada perniagaan merangkumi pembekal, pekerja dan pelanggan sahaja, sebenarnya banyak lagi pihak-pihak lain yang mempunyai kepentingan ke atas perkembangan, prestasi dan kejayaan mana-mana perniagaan. Kesemua ini perlu diberikan layanan sewajar dengan hubungan dan kedudukan masing-masing ke atas perniagaan.

Perniagaan mempunyai pelbagai pihak yang berkepentingan samada yang ada hubungan komersil atau pun yang mempunyai taruhan yang lain ke atas perniagaan

Setiap pihak ada kemahuan dan kepentinganya yang tersendiri ke atas perniagaan. Menguruskan hubungan dengan pelbagai pihak yang berkepentingan ini amat penting di dalam membina perniagaan yang lestari.

5 Pemacu perubahan

Seorang CEO perlu mengetahui dan memahami apakah yang memacu perubahan yang ada kesan ke atas perniagaan, bagaimana mereka mempengaruhi perniagaan, peluang dan risiko baharu yang timbul serta bagaimana perniagaan harus bertindak ke atas perubahan-perubahan yang telah, sedang dan akan berlaku. Bagi membantu CEO di dalam perkara ini, kefahaman berkenaan 5 Pemacu Perubahan (Change Drivers) adalah penting.

5 Pemacu Perubahan utama itu adalah:

  1. Masyarakat
  2. Teknologi
  3. Ekonomi
  4. Alam
  5. Peraturan/Politik

Perubahan di dalam pemacu-pemacu di atas bukan sahaja akan mempengaruhi perniagaan kita tetapi akan turut memberi kesan kepada kesemua elemen-elemen di dalam ekosistem perniagaan seperti pelanggan yang membeli produk atau perkhidmatan serta pembekal yang ada di atas rantaian bekalan yang membolehkan kita mengeluar dan memasarkan produk atau perkhidmatan kita.

Kerangka ilmu

Berdasarkan asas-asas perniagaan di atas, ilmu, kemahiran-kemahiran dan nilai yang perlu ada kepada seorang CEO digabungkan di dalam kerangka ilmu berikut:

Berdasarkan kerangka ilmu ini, ada 4 kumpulan ilmu dan kemahiran yang penting yang melibatkan:

Pihak yang berkepentingan

Pentadbiran peniagaan

Pengurusan perniagaan

Kepimpinan perniagaan

Setiap aspek ini ada perbincangan yang lebih menyeluruh. Ini menjadi teras kepada proses perkembangan seorang CEO kerana dia boleh menambahkan ilmu-ilmu dan kemahiran baharu dengan berpandukan kerangka ilmu ini sebagai asas.

Exit mobile version