Alatan pentadbiran dan pengurusan
Di dalam mengambil tindakan dan membuat keputusan, seorang CEO memerlukan bantuan dari pelbagai sumber. Ini termasuk pelbagai data dan maklumat yang berkait dengan keputusan yang perlu dibuat itu. Kesemua perkara-perkara ini perlu rancang dan diadakan secara sistematik dan tidak wujud secara tersendiri.
Di samping data dan maklumat yang berkualiti, ada pelbagai alatan pengurusan yang boleh membantu seorang CEO di dalam menjalankan kerja-kerjanya. Alatan-alatan ini bergantung kepada keperluan perniagaan dan juga kemampuan perniagaan untuk mengadakannya.
Sebagai contoh, seorang CEO perlu dibekalkan dengan pelbagai maklumat kewangan yang terkini, tepat dan memberi gambaran yang jelas berkenaan prestasi dan kedudukan kewangan perniagaan. Ini penting kerana perniagaan yang mempunyai kekuatan kewangan yang kukuh akan boleh melabur untuk menjana nilai yang baharu kepada pelanggan dan bertahan lama.
Apabila perniagaan menghadapi suasana perniagaan yang mencabar, bilik perang boleh digunakan sebagai pusat untuk menerima maklumat dan mengambil tindakan yang perlu. Pakar-pakar dan orang-orang yang berkenaan akan berada di bilik perang untuk menilai maklumat, mencari pilihan-pilihan tindakan dan mencadangkan pilihan-pilihan yang terbaik kepada CEO. Ini akan membolehkan CEO membuat pilihan dengan cepat dan tepat.
Di antara kaedah untuk membentuk pasukan pengurusan yang mantap ialah membuat penilaian prestasi dan pencapaian yang tepat dan adil. Ini akan membolehkan ahli pasukan yang cemerlang diiktiraf dan yang memerlukan bantuan diberikan sokongan agar mereka menjadi lebih menyumbang di masa hadapan. Teknik dan proses penilaian prestasi yang bersepadan dengan kedudukan pasukan pengurusan yang ada perlu diadakan bagi membantu CEO.
Seorang CEO boleh mendapatkan khidmat nasihat dari pakar-pakar di luar perniagaan sekiranya diperlukan. Ini akan membantu CEO untuk memahami sesuatu isu dengan lebih menyeluruh, mencari pilihan-pilihan yang bersesuaian dan mengambil tindakan yang berkesan. Ahli pasukan juga boleh diberikan latihan untuk menjadi pakar. Namun, mereka perlu bebas dan jujur di dalam memberikan pandangan dan tidak hanya menjaga kepentingan masing-masing dan memudaratkan perniagaan.
Setiap perniagaan perlu mempersiapkan diri untuk menghadapi ganguan operasi dan lain-lain perkara yang boleh menjejaskan urusan kritikal perniagaan. Rangka kerja pengurusan krisis dan kesinambungan perniagaan perlu diadakan dan diuji dari masa ke semasa supaya sebarang halangan dan kelemahan ditangani sebelum ianya digunakan di dalam keadaan yang mendesak. Ini merupakan sebahagian dari alatan pengurusan risiko yang mesti diadakan oleh CEO.
Data dan alatan pengurusan bukan sahaja membantu CEO tetapi juga diperlukan oleh ahli-ahli pasukan yang lain yang menyokong CEO di dalam membuat keputusan dan mengambil tindakan. Oleh yang demikian di dalam merancang alatan pengurusan mana yang perlu diadakan, keperluan ahli-ahli pasukan yang lain perlu diambilkira.
