Hasil pelaksanaan strategi perlu dinilai untuk memahami keberhasilannya dan juga impak kepada perniagaan. Ini merupakan satu proses terancang kerana ianya melibatkan pengumpulan data dan maklumat yang mempunyai kaitan dengan apa yang hendak dinilai itu.
Strategi yang dilaksanakan biasanya melalui 3 peringkat:
- Peringkat merangka strategi
- Peringkat perancangan pelaksanaan
- Peringkat pelaksanaan
Memahami peringkat-peringkat ini penting untuk mengetahui aspek mana yang menyumbang kepada hasil atau impak pelaksanaan strategi kemudiannya. Sebagai contoh, andaian-andaian yang diguna pakai di peringkat merangka strategi akan dibandingkan dengan hasil sebenar. Adakah apa yang diandaikan itu benar-benar tepat atau sebaliknya.
Impak strategi dinilai berdasarkan sasaran-sasaran hasil yang ditetapkan. Sebagai contoh, menerbitkan pelbagai iklan berkenaan satu produk baharu dijangka akan menjana jualan tertentu. Jadi, impak iklan akan dinilai dari segi jumlah jualan.
Ada juga strategi yang impaknya lebih mencabar seperti menjadi pembekal terbesar di dalam segmen pasaran yang dipilih. Di samping data jualan dari perniagaan, data-data yang melibatkan jualan keseluruhan di dalam segmen pasaran itu juga kena dikumpulkan. Ini bukannya satu perkara yang senang di dapati melainkan di dalam industri yang mana ada laporan berkenaan jualan dengan pecahan data yang terperinci.
Oleh yang demikian, menetapkan kaedah penilaian perlu mengambil kira perkara-perkara berikut:
- Logik strategi yang mahu dinilai
- Hasil dan impak strategi yang dipilih
- Kewujudan data dan maklumat yang relevan
- Tempoh kewujudan data dan maklumat
- Tahap kaitan di antara perkara-perkara yang mahu dinilai dengan data dan maklumat yang akan dikumpul
Seeloknya, kaedah penilaian strategi turut dibincangkan dan ditetapkan di peringkat awal lagi. Ini bertujuan untuk mempastikan data, maklumat dan maklum balas yang diperlukan dikenal pasti, ditentukan kaedah pengutipannya dan menjadi tanggungjawab siapa. Ini akan menjadika proses penilaian strategi berjalan dengan teratur dan hasilnya dapat dinilai dengan tepat.
