Site icon Minda CEO

Juara-Juara Pelaksana Strategi

Melaksanakan strategi memerlukan sokongan kesemua ahli pasukan dan juga pihak berkepentingan yang berkenaan. Oleh yang demikian, mewujudkan orang-orang yang menjuarai strategi di setiap peringkat menjadi satu langkah penting di dalam proses pelaksanaan strategi.

CEO tentunya menjadi juara strategi yang terpenting. Dia bukan sahaja kena meyakinkan pengurusan kanan dan ahli-ahli pasukan yang lain tetapi kena juga mempengaruhi lembaga pengarah, pemegang saham dan juga pihak luar yang ada peranan di dalam pelaksanaan strategi. Ini bermakna CEO perlu menggunakan kesemua peluang yang ada di dalam menerangkan dan meyakinkan orang-orang yang terpilih mengapa mereka kena menyokong strategi yang dipilih dan apakah peranan mereka untuk menjayakan strategi itu.

Adalah penting supaya “juara-juara strategi” dikenal pasti dan di lantik di setiap peringkat perniagaan, khususnya yang kritikal di dalam mencapai sasaran-sasaran yang telah ditetapkan. Ini adalah kerana pelaksanaan strategi yang menyeluruh memerlukan perubahan dari segi polisi, proses, ahli pasukan, pengagihan dana dan lain-lain aspek perniagaan lain. Perluasan pasaran misalnya memerluka kerjasama di kalangan pelbagai jabatan dan unit yang ada di dalam perniagaan, bukannya kerja pihak pemasaran sahaja.

Orang-orang yang dipilih menjadi juara strategi ini perlu difahamkan berkenaan strategi perniagaan yang terbaharu serta dilatih untuk menerangkan berkenaan strategi berkenaan kepada pelbagai pihak yang disasarkan. Mereka juga akan manjadi pemudah cara di antara orang-orang di bawah dengan pihak atasan sekiranya ada isu-isu yang berbangkit. Walaupun di peringkat perniagaan boleh diadakan pelbagai kaedah untuk menerangkan berkenaan strategi yang dilaksanakan, pendekatan yang lebih bersemuka akan banyak membantu.

Perjumpaan berkala di antara CEO, pengurusan kanan dan juara-juara strategi ini membolehkan maklumat terkini dibincangkan dan langkah-langkah susulan dipersetujui. Disebabkan pelaksanaan strategi ini biasanya akan terhalang dengan pelbagai sebab, pelantikan juara strategi boleh membantu dari segi penerangan dan penyebaran maklumat serta memudahkan penyelesaian masalah di lapangan.

Exit mobile version