Menentukan Elemen Persaingan Di Dalam Pembentukan Strategi

Oleh kerana setiap perniagaan ada kekangan sumber, ia perlu memilih elemen-elemen mana yang mahu ditumpukan agar memberikan kelebihan ke atas pesaing dan meletakkan produk sebagai produk unggul di segmen pasaran yang dipilih.

Ini bukan sahaja memenuhi kehendak pelanggan di segmen berkenaan tetapi turut membolehkan pelanggan membezakan apa yang ditawarkan oleh barangan atau perkhidmatan perniagaan berbanding dengan pesaing-pesaing yang lain.

Pembezaan ini turut menjadi unsur yang membina dan mengukuhkan jenama perniagaan. Penjenamaan adalah satu perkara penting yang perlu dirancang dari awal lagi.

Pemilihan elemen persaingan ini juga akan membantu untuk menempatkan perniagaan di kedudukan pasaran yang dituju, dengan mengambilkira persamaan dan perbezaan dengan pesaing yang ada.

Tentu sekali novasi adalah satu perkara penting di dalam pembentukan strategi. Ini bagi membolehkan perniagaan menawarkan apa yang menambah nilai kepada pelanggan di dalam konteks terkini dan bagi membezakan apa yang ditawarkan dengan tawaran pesaing-pesaing seperti yang dinyatakan di atas. Seorang CEO perlu menerajui inovasi setiap masa kerana tanpa inovasi, perniagaan akan membeku dan hilang daya saing.

Usahawan juga harus ingat memasuki pasaran baru tidak semestinya memberikan kelebihan yang berkekalan. Jika ruang itu satu ruang yang baru (ruang putih), pesaing mungkin akan menyedarinya dan menggunakan kekuatan mereka untuk menjadi lebih unggul. Walau bagaimana pun, jika ia adalah ruang manis yang mana pesaing dengan sedar menghindarinya kerana sebab kos atau alasan lain, kemungkinan perniagaan kita untuk mengekalkan keunggulannya adalah lebih tinggi.