Di Antara Keuntungan Dan Nilai Perusahaan

Penyenaraian Grab di Nasdaq, Amerika Syarikat, telah menarik perhatian ramai usahawan dan ahli perniagaan. Ini adalah kerana ianya diasaskan oleh seorang usahawan dari Malaysia yang kemudiannya membawa perniagaan ini ke Singapura. Selepas membesarkan perniagaan ke beberapa negara di Asean, akhirnya Grab disenaraikan di New York dengan penilaian lebih kurang US 40 bilion.

Bagaimana nilai perusahaan (enterprise value) perniagaan seperti Grab dikira apabila perniagaan ini belum pernah membuat keuntungan? Di sesetengah pasaran, pelabur menilai perniagaan berasaskan teknologi bukan berasaskan kepada untung/rugi di ketika ini tetapi penilaian bergantung, di antaranya, kepada jumlah data pelanggan yang ada, nilai transaksi dan juga keupayaan perniagaan mempromosi produk dan perkhidmatan kepada pelanggan mereka. Mereka menilai perniagaan teknologi berdasarkan potensinya.

Sekarang kita boleh memahami bagaimana syarikat-syarikat seperti Facebook dan Twitter membina nilai perusahaan mereka seperti yang ada sekarang. Mereka berikan kita platfom untuk digunakan sebagai tempat bersosial termasuk berbalah dan mengumpat dengan percuma. Bila kita menggunakannya, mereka dapat mengutip data kita dan akhirnya nilai perusahaan mereka menjadi tinggi manakala kita menjadi semakin tidak beradab sesama sendiri.

Jadi selepas ini kita kena perhatikan perniagaan-perniagaan yang memiliki banyak data pelanggan seperti AirAsia pula. Walaupun industri penerbangan belum pulih dan syarikat ini mengalami kerugian operasi, ia sudah mewujudkan AirAsia Digital. Oleh kerana AirAsia ada jejak (foot print) yang besar di Asia, nilainya mungkin lebih besar dari perniagaan penerbangannya sekiranya ia mampu meyakinkan pelabur data yang dimilikinya boleh dikomersilkan dengan nilai yang tinggi.

Ini satu konsep yang penting untuk difahami oleh usahawan. Di samping membentuk strategi yang menjadikan perniagaan untung dengan mampan, ada satu lagi perkara yang kena diberikan perhatian juga, pembinaan nilai perusahaan seperti yang disebutkan di atas.

Ramai usahawan yang membina perniagaan dengan niat mahu kekal di dalam perniagaan berkenaan. Namun satu pilihan yang ada ialah menjual perniagaan yang berdaya maju bagi membuka kunci nilai perusahaannya (unlocking its enterprise value). Jika perniagaan masih rugi tetapi ada orang nak bayar dengan nilai yang besar kerana potensinya, mengapa sayang nak jual?

Walau bagaimana pun, kaedah penilaian ini bergantung kepada pihak yang menilailah. Omputih kata “value is in the eyes of the beholder”. Secara am, di Malaysia, aliran tunai masa hadapan masih lagi dijadikan asas menilaian. Mungkin ada pemain modal teroka yang sanggup membayar berdasarkan potensi data. Namun, mereka kena bawa perniagaan yang mereka beli ke pasaran yang sanggup membayar dengan harga yang lebih tinggi di luar negara.

Seorang CEO juga bertanggungjawab untuk membina nilai perusahaan di samping mempastikan perniagaan mencapai matlamat strategik dan menjana keuntungan. Penjanaan nilai ini akan meningkatkan nilai pelaburan di dalam perniagaan. Jika CEO berkenaan memiliki saham syarikat, dia juga akan mendapat keuntungan dari peningkatan nilai perushaan ini.

Kita mungkin ada peluang di masa ini disebabkan perubahan polisi di China di kebelakangan ini. Kerajaannya nampaknya tidak begitu suka syarikat-syarikat China seperti Alibaba menjadi besar dan menyenaraikan saham mereka di Amerika. Sudah banyak tindakan yang dilakukan ke atas beberapa syarikat teknologi di China yang disenaraikan di luar negara. Jadi, kini ada banyak modal dan teknologi dari China yang mencari destinasi baharu untuk membangunkan perniagaan sebagai perniagaan luar China. Ini adalah satu peluang yang harus diterokai. Sudah ramai usahawan dan pemodal dari China yang mencari-cari peluang di Malaysia terutamanya melalui kemudahan MSC yang ada di sini.

Kita kena keluar dari kotak pengguna kepada kotak pencipta produk dan perkhidmatan. Jika ada peluang untuk bekerjasama dengan orang-orang luar, itu kena dicekup dengan cepat. Tentunya kita pun kena ada nilai yang mereka nampak, jika tidak mengapa mereka perlu mencari kita? Inilah sebabnya membentuk dan menjaga reputasi adalah satu perkara yang tidak boleh dilalaikan oleh usahawan.