5 Minda Asas CEO

Oleh kerana seorang CEO terlibat di dalam pelbagai perkara di dalam usahanya untuk membawa perniagaan mencapai apa yang dituju dan ditetapkan, dia kena faham peranannya di dalam perniagaan dan tidak boleh terbawa-bawa dengan kecenderungannya kepada perkara yang disenanginya sahaja.

Seorang CEO perlu mempunyai minda yang akan membolehkan beliau menjalankan tanggungjawabnya dengan berkesan. 5 Minda Asas CEO adalah:

  1. Minda Pengawas (Mind of a steward)
  2. Minda Strategik (Mind of a strategist)
  3. Minda Pembina (Mind of a builder)
  4. Minda Penghubung (Mind of a connector)
  5. Minda Pemimpin (Mind of a leader)

Saksikan video yang membincangkan minda-minda asas seperti di atas.

Minda Pengawas – Pemegang saham adalah pembekal modal kepada syarikat. Di samping itu mereka berkuasa melantik ahli lembaga pengarah yang bertanggungjawab untuk menjalankan dan menyelia perniagaan. Lembaga pengarah pula bertanggungjawab untuk melantik seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang mampu membawa perniagaan ke arah yang ditujui dan mencapai matlamat-matlamat yang akan menambah nilai kepada syarikat dan pemegang saham.

Oleh itu seorang memegang amanah untuk menguruskan aset-aset dan sumber yang diserahkan kepadanya dengan cara yang terbaik untuk mencapai apa yang dirancang di peringkat strategik bagi membawa kebaikan kepada syarikat. Disebabkan amanah inilah, CEO bukan sahaja perlu mempastikan perniagaan membawa keuntungan tetapi mempunyai sistem semak imbang yang berkesan agar tidak ada aset dan sumber yang disalahgunakan oleh sesiapa sahaja. CEO kena sentiasa bekerja untuk kepentingan terbaik syarikat (best interest of the company/business).

Video yang membincangkan Minda Pengawas.

Minda Strategik – Mana-mana perniagaan perlu memilih pasaran yang mahu dikuasainya agar barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan mendapat sambutan di kalangan pelanggan dari segmen pasaran yang dipilih. Oleh itu, CEO bertanggungjawab untuk membentuk strategi perniagaan bagi tempoh yang tertentu untuk diluluskan oleh lembaga pengarah. Strategi ini akan menjadi asas kepada perjalanan syarikat di dalam tempoh berkenaan.

Pembentukan strategi memerlukan perniagaan membuat pilihan-pilihan seperti segmen pasaran, jenis produk, penetapan harga, risiko yang sanggup dihadapi, persaingan dan lain-lain perkara yang akan menentukan arah tuju perniagaan. CEO boleh mendapatkan bantuan dari pihak luar sekiranya tidak ada kepakaran dalaman di dalam membentuk strategi yang mantap. Fakta dan data yang berkenaan diperlukan agar pilihan-pilihan yang dibuat mempunyai asas yang kukuh dan mendekati apa yang sebenarnya berlaku di dalam pasaran.

Video yang membincangkan Minda Strategik

Minda Pembina – Bagi mencapai matlamat yang ditetapkan, banyak perkara-perkara yang perlu dibina di dalam perniagaan. Sebagai contoh, dari strategi yang ditetapkan, apakah model perniagaan (business model) yang sesuai dan bagaimanakah model berkenaan diadakan dan dijalankan di dalam operasi harian perniagaan. Ini perlu disusuli dengan pembinaan ahli pasukan (team members), sistem dan proses, sistem pengurusan kewangan, pematuhan undang-undang dan sebagainya.

Bagi seorang CEO yang mewarisi perniagaan yang sedia ada, dia kena mampu membina semula komponen-komponen perniagaan yang ada agar sesuai dan selari dengan matlamat dan strategi baharu. CEO juga kena membina sistem nilai dan budaya perniagaan yang bukan hanya terletak di dalam sistem dan proses tetapi juga di dalam jantunghati setiap ahli pasukannya. Di samping komponen dalaman, CEO juga kena membina hubungan dengan pihak-pihak yang berkepentingan yang boleh mempengaruhi perniagaan syarikat.

Video yang membincangkan Minda Pembina

Minda Penghubung – Di dalam aspek ini, seorang CEO kena sentiasa membina dan memperteguhkan pelbagai jenis hubungan di dalam dan di luar syarikat. Dari segi dalaman, hubungan pihak pengurusan dengan lembaga pengarah dan juga pemegang saham perlu dibina supaya ada hubungan dua hala yang mantap. Di dalam masa yang sama, hubungan di antara pelbagai lapisan pekerja di dalam syarikat perlu juga diberi perhatian agar semua orang akan bekerja ke arah matlamat yang sama tidak kira kedudukan mereka.

Hubungan dengan pelbagai pihak luar berlaku disebabkan pelbagai perkara. Hubungan dengan pelanggan penting agar mereka terus melanggani produk syarikat. Hubungan dengan pembekal penting bagi mempastikan proses pengeluaran atau penyampaian perkhidmatan berjalan dengan lancar pada kos yang ditetapkan. Hubungan dengan pihak-pihak yang berkepentingan lain juga penting agar perniagaan tidak terjejas dan boleh berjalan seperti yang dirancang. Ini termasuk hubungan dengan agensi kawalselia, pembekal pembiayaan, NGO yang terlibat di dalam industri dan pembentuk-pembentuk pemikiran (influencers) yang ada di dalam masyarakat yang boleh memberi kesan kepada perniagaan.

Video yang membincangkan Minda Penghubung

Minda Pemimpin – Mahu tidak mahu seorang CEO adalah pemimpin di dalam syarikat. Ini adalah satu tanggungjawab yang berat kerana asas kepada kepimpinan ialah kemampuan untuk meyakinkan insan yang berada di dalam dan di luar perniagaan untuk bekerjasama bagi membawa perniagaan ke arah yang ditujui. Seorang pemimpin perlu mempunyai halatuju yang jelas supaya orang yang mengikutinya tahu ke mana mereka harus bergerak dan bagimana mahu sampai di situ.

CEO juga kena menghidupkan apa yang dicakapkannya di dalam segala tindakan yang dilakukannya. Kesemua tindakan-tindakan ini pula mestilah selari dengan matlamat, strategi dan nilai-nilai syarikat. Sekiranya ini tidak jelas, kumpulan yang dipimpinnya mungkin akan berasa ragu-ragu untuk melaksanakan strategi dan pelan tindakan yang telah dipersetujui. Orang lebih mudah mengikuti apa yang diamalkan berbanding dengan apa yang dicakapkan tetapi tidak disusuli dengan amalan.

Video yang membincangkan Minda Pemimpin

Bila seorang CEO sedar dia perlu mengawas perniagaan, mengatur strategi, membina perniagaan, menjalin hubungan dan memimpin, dia mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk berjaya di dalam tugasannya. CEO tidak mencapai kesemua ini secara bersendirian tetapi perlu mendapatkan kerjasama dari keseluruhan insan yang ada di dalam perniagaan. 5 Minda Asas CEO ini juga adalah kait mengait dan tidak berdiri dengan sendiri sahaja. Ini bermakna, CEO perlu melaksanakannya secara keseluruhan yang menjadikan perniagaan dan syarikat yang diterajuinya menjadi sebuah perniagaan yang mantap.