Insan merupakan penggerak utama perniagaan. Ianya merupakan elemen utama di dalam pengeluaran, mempastikan pelanggan menerima barangan atau perkhidmatan, membentuk jenama melalui kualiti perkhidmatan mereka dan usur utama di dalam menginstitusikan perniagaan.
Di dalam mana-mana perniagaan biasanya ada dua kumpulan ahli pasukan yang mempunyai tugas yang agak berbeza. Kumpulan pengurusan ialah mereka yang membentuk strategi, merancang pelan tindakan, mengurus ahli pasukan yang lain untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti perniagaan dan menilai prestasi. Satu kumpulan yang lain tertumpu kepada mengurus dan menjalankan aktiviti harian perniagaan dari operasi, jualan dan perkhidmatan sokongan yang lain seperti pengurusan kewangan.

Perniagaan perlu disusun dengan susunan yang membolehkan strategi dan pelan tindakan dijalankan, diurus dan ditadbir oleh insan-insan yang bersesuaian yang sentiasa komited kepada misi dan visi perniagaan. Oleh itu, struktur organisasi mestilah dirangka untuk menyokong model perniagaan dan memudahkan perniagaan menjana nilai melalui barangan atau perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan.
Proses pengambilan ahli pasukan, latihan dan pembangunan dan penilaian prestasi adalah proses-proses asas yang perlu diuruskan agar setiap ahli pasukan akan memberikan prestasi yang cemerlang. Asas kepada semua ini ialah untuk mempastikan setiap ahli pasukan mempunyai pengetahuan, kemahiran, nilai dan etika yang baik serta berupaya melakukan apa yang bersesuaian dengan keperluan perniagaan. Perniagaan mesti mempunyai tawaran yang jelas bagi menarik insan yang sesuai dengan strategi dan keperluannya.
Satu lagi perkara yang penting ialah bagaimana ahli pasukan yang berprestasi tinggi kekal di dalam perniagaan. Ini adalah satu perkara penting agar perniagaan tidak kehilangan bakat yang telah dibimbing dengan teliti dan mempunyai kepandaian yang diperlukan untuk membesarkan lagi perniagaan. Bakat hebat yang ada adalah calon terbaik yang boleh dipertimbangkan oleh pesaing di dalam industri yang sama.

Tiga proses pengurusan modal insan utama digambarkan di dalam rajah di atas.
Bagaimana usahawan mengambilkira usaha dan kos untuk melatih bakat yang ada dan menjadikan mereka lebih cemerlang akan juga memberi kesan. Ianya seharusnya dikira sebagai pelaburan, bukan kos yang hangus begitu sahaja. Biasanya kos untuk mengganti ahli pasukan yang terlatih dan mahir lebih tinggi dari kos untuk menarik hati mereka untuk kekal di dalam perniagaan.
Untuk menjadi perniagaan yang lestari dan mampu menarik bakat-bakat baru yang hebat, setiap perniagaan perlu sentiasa tahu apakah yang mempu mereka tawarkan kepada orang-orang yang boleh menjadikan perniagaan berkenaan cemerlang. Ianya tidak terhad kepada wang semata-mata tetapi merangkumi tawaran yang lebih luas seperti yang digambarkan di dalam rajah di bawah.
Satu perkara penting di dalam menguruskan generasi pekerja muda masakini ialah keterlibatan pekerja di dalam pelbagai aspek perniagaan. Ahli pasukan muda suka jika pandangan dan pendapat mereka diambilkira di dalam keputusan perniagaan. Proses yang bersesuaian seperti pertemuan bulanan di antara ahli pasukan dan pihak pengurusan akan meningkatkan perasaan keterlibatan ini. Aktiviti-aktiviti berkumpulan yang dilakukan di luar masa berkerja boleh membantu untuk menjadikan ahli pasukan lebih mengukuhkan lagi proses ini.
Banyak perniagaan yang besar-besar yang memberi penumpuan khus ke atas keterlibatan pekerja untuk menjadikan mereka lebih efektif dan menarik pekerja yang cemerlang untuk terus kekal dengan pernigaan demikian. Bagi perniagaan yang lebih kecil pula, saiz ahli pasukan yang kecil akan memudahkan interaksi sesama ahli pasukan. Apa yang perlu ialah para usahawan perlu lebih terbuka dan memberi peluang kepada ahli pasukan untuk bertanya dan memberi pandangan tanpa perlu ada perasaan takut jika pandangan mereka tidak diterima.
Di samping perkara-perkara di atas, aktiviti-aktiviti lain seperti pembayaran gaji, manfaat kesihatan dan pembayaran caruman statutori perlu juga diuruskan agar tidak timbul perkara-perkara yang memberi kesan kepada ahli pasukan. Jika berlaku kegagalan di dalam pembayaran caruman berkenaan, bukan sahaja ianya akan menjejaskan moral ahli pasukan malah hutang berkenaan akan ditanggung oleh usahawan atau ahli lembaga pengarah secara peribadi.
Usahawan juga perlu membezakan di antara aktiviti pengurusan insan yang bersifat operasi seperti proses pengambilan ahli pasukan, latihan, pembayaran gaji dan ganjaran dan menguruskan isu-isu harian seperti cuti dan kebajikan dengan aktiviti yang bersifat strategik seperti struktur organisasi, perancangan penggantian dan budaya. Mungkin orang yang menguruskan operasi perlu berbeza dengan orang yang menguruskan bahagian strategik.