Site icon Minda CEO

Pengurusan Kewangan

Ini merangkumi perkara-perkara yang berkaitan dengan modal perniagaan, bagaimana aliran tunai diuruskan, menentukan belanjawan, kos dan harga, menyediakan laporan-laporan kewangan untuk tindakan pengurusan serta memastikan laporan-laporan kepada pihak ketiga dibuat dengan tepat.

Di antara tugas-tugas utama di dalam pengurusan kewangan ialah:

Bagi mempastikan perkara-perkara di atas dicapai dengan berkesan, fungsi kewangan perniagaan perlulah dianggotai oleh orang yang berkelayakan dan mempunyai kebolehan profesional. Perniagaan boleh juga mendapatkan perkhidmatan dari pihak ketiga tetapi keupayaan mereka perlu dinilai dari awal agar kualiti perkhidmatan mereka menepati kehendak perniagaan.

Ahli pasukan yang menerajui fungsi kewangan mestilah sentiasa berhubung dengan mereka yang berkhidmat di fungsi-fungsi yang lain. Ini adalah perlu agar mereka memahami perjalanan perniagaan, faham isu-isu kritikal yang ada kesan kewangan serta maklum akan perkembang industri yang akan mempengaruhi perjalanan perniagaan dan mempersediakan perniagaan untuk menghadapi perkembangan demikian terutamanya dari segi kewangan.

Walaupun kebanyakan usahawan maklum keperluan untuk menyediakan penyata kewangan tahunan, ramai yang tidak menumpukan kepada mewujudkan proses supaya maklumat pengurusan seperti kos barangan, pengiraan titik pulangan modal dan analisa prestasi diberikan kepada pihak pengurusan setiap bulan.

Perumpamaan mana-mana perniagaan yang dijalankan tanpa mengetahui kos barangan atau perkhidmatan dan titik pulangan modal samalah seperti memandu kereta tanpa mengetahui had laju dan baki petrol yang ada di dalam tangki kereta. 

Bagi perniagaan yang ada pelbagai barangan dan perkhidmatan, titik pulangan modal dikira berdasarkan komposisi jenis barangan dan perkhidmatan yang dirancang. Perubahan di dalam komposi ini juga akan menpengaruhi keuntungan perniagaan.

Lebih banyak maklumat yang menjurus kepada masa depan, lebih senang pihak pengurusan membuat keputusan samada keputusan operasi atau keputusan strategik seperti membuat pelaburn di dalam aset jangka panjang.

Jika perniagaan tidak mempunyai sumber yang cukup untuk mewujudkan fungsi kewangan dan perakaunan yang diperlukan, mendapatkan perkhidmatan sedemikian dari firma perakaunan awam boleh dijadikan satu pilihan. Apa yang perlu dipersetujui selain dari membincangkan kos perkhidmatan ialah skop perkhidmatan termasuk perkhidmatan pematuhan seperti perakaunan dan percukaian, laporan berkala yang disediakan serta analisa-analisa perniagaan bagi tujuan pengurusan. 

Satu lagi perkara yang penting ialah pengurusan dana dan aliran tunai. Ini amat penting bagi perniagaan sama seperti darah bagi manusia. Ianya perlu dirancang secara teliti dan dilaksanakan oleh ahli pasukan yang mempunyai kelayakan dan kemahiran. 

Bagi perniagaan yang berkembang pesat, perkembangan perniagaan akan mengakibatkan dana yang diwujudkan melalui keuntungan dilaburkan semula samada sebagai modal pusingan atau perbelanjaan modal. Tanpa perancangan yang terperinci, perniagaan pada peringkat ini boleh mengalami masalah aliran tunai. Ini bukan sahaja membantutkan perkembangan tetapi boleh menjejaskan kelestarian perniagaan itu sendiri. 

Di dalam suasana perniagaan yang mana kos sentiasa menaik, seorang CEO perlu memahami kedudukan ekosistem perniagaan dan kesan peningkatan kos ke atas untung rugi, aliran tunai dan juga kedudukan persaingan yang ada. Perubahan strategik perlu jika tekanan ke atas aliran tunai menjadi meruncing. Ini perlu dibuat setelah kajian yang menyeluruh dibuat untuk mengelakkan perniagan hilang daya saingnya.

Bagi perniagaan yang didaftarkan di bawah Akta Syarikat, penyediaan penyata kewangan berkanun harus dipatuhi. Hampir kesemua penyata kewangan syarikat perlu diaudit oleh juruaudit bertauliah. Kegagalan menyediakan penyata kewangan beraudit boleh mendedahkan syarikat didenda oleh Suruhanjaya Syarikat. Penyata kewangan berkenaan juga perlu untuk tujuan pencukaian dan lain-lain urusan perniagaan seperti mendapatkan pembiayaan dari institusi kewangan.

Setakat mana cepatnya penyata kewangan yang wajar disediakan akan menggambarkan kualiti pengurusan kewangan di dalam perniagaan berkenaan.

Adalah disarankan di sini supaya juruaudit yang dipilih boleh memberikan nilai tanbah dengan melaporkan aspek-aspek risiko dan kawalan dalaman yang perlu diperbaiki, kepada lembaga pengarah. Perkhidmatan agen cukai yang bebas juga akan membantu pengurusan cukai yang sememangnya kompleks dan memerlukan kepakaran dan pengalaman.

Exit mobile version