Jaminan

Ini adalah proses bebas untuk mempastikan sistem kawalan dalaman dan pengurusan risiko berjalan seperti yang dirancang. Ini bermakna orang yang melaksanakan tanggungjawab jaminan ini perlu bebas dan tidak boleh melibatkan diri di dalam proses yang disemak dan dinilainya.

Biasanya tanggungjawab jaminan diberi kepada fungsi audit dalaman yang dianggotai oleh orang yang mempunyai kemahiran di dalam bidang ini. Fungsi audit dalam ini akan mengambil maklum akan risiko yang dihadapi oleh perniagaan, membuat penilaian ke atas kawalan dalaman yang digunapakai dan memeriksa samada polisi dan proses berkenaan dijalankan dengan baik. Sebarang kekurangan akan diteliti dan jika perlu, dilaporkan kepada lembaga pengarah. Di dalam menyediakan laporan ini, maklumbalas dari orang yang bertanggungjawab serta cadangan pembetulan akan dibuat.

Bagi perniagaan yang kecil, perkhidmatan jaminan dari pihak ketiga seperti firma akauntan bertauliah boleh dipertimbangkan kerana ini mungkin lebih berkesan dan pada kos yang lebih munasabah. Walau bagaimana pun skop tugas dan kerja yang akan dilaksanakan mestilah dibincangkan dengan teliti supaya perkhidmatan berkenaan efektif dan bersesuaian dengan kehendak perniagaan. Oleh kerana kebanyakan perniagaan memerlukan penyata kewangannya diaudit oleh juruaudit bebas, bolehlah dibincangkan bagaimana mereka boleh menambah bidang perkhidmatan mereka di dalam memberi jaminan di dalam perkara di luar kerja-kerja mereka sebagai juruaudit.

Perniagaan yang menggunakan teknologi sebagai teras utama perlu ada pakar yang faham akan kaedah menilai keberkesanan kawalan dalaman di dalam sistem yang ada. Jika tidak, banyak kelemahan boleh berlaku secara berterusan kerana tidak ada orang yang mahir di dalam bidang tersebut. Kini sudah menjadi amalan terbaik untuk mendapat pengesahan dari audit dalaman bagi kesemua proses yang baru diperkenalkan bagi mempastikan tidak ada risiko yang terlepas pandang atau tidak ada kawalan dalaman yang sepadan.

Bagi perniagaan yang perlu mematuhi banyak peraturan dan undang-undang, satu unit khas berkenaan pematuhan boleh ditubuhkan. Ini penting kerana dengan adanya pengkhususan, risiko kegagalan pematuhan boleh dikenalpasti dari awal dan diuruskan secepat mungkin.