Sebelum ini kita telah membincangkan berkenaan perlunya CEO membentuk strategi bagi mencapai visi perniagaan. Ada satu kata-kata yang sangat penting berkenaan strategy. “Strategi yang baik hanyalah setakat ianya dilaksanakan”. Ini bermakna, jika ada strategi tetapi gagal dilaksanakan dengan baik, tinggallah strategi itu di atas kertas.
Perkara utama di dalam pelaksanaan strategi ialah kefahaman dan keyakinan ahli pasukan ke atas strategi yang ditetapkan itu. Jika CEO seorang sahaja yang yakin tetapi ahli-ahli pasukan pengurusan dan lain-lain kakitangan tidak faham dan tahu pun berkenaan strategi perniagaan, sukar bagi perniagaan untuk mencapai apa yang ditetapkan di dalam strategi yang diyakini CEO itu.
Komunikasi di pelbagai peringkat adalah penting termasuk mengadakan sesi balai rakyat (town hall) untuk “menjual” strategi kepada warga perniagaan. Kandungan perbincangan bergantung kepada kedudukan dan peranan mereka di dalam perniagaan. Apa yang penting ialah mereka faham arah tuju, pelan-pelan tindakan yang penting dan juga peranan mereka di dalam mencapai matlamat perniagaan.
Komunikasi yang paling berkesan ialah contoh yang baik yang ditunjukkan oleh CEO dan orang-orang atas. Bikin kena seperti cakap.
Memahami peranan masing-masing membolehkan setiap ahli pasukan untuk fokus kepada apa yang mahu dicapai oleh perniagaan. Jika mereka tetap melakukan apa yang biasa, perubahan tidak akan berlaku. Jangan disangka setiap patah perkataan kita difahami dengan cara yang sama oleh setiap orang. Jika ianya difahami dengan cara yang berbeza, pelaksanaan strategi boleh jadi berbeza dengan apa yang telah dirancang.
Strategi biasanya dipecahkan kepada beberapa objektif besar yang kemudiannya disokong dengan pelan-pelan tindakan yang spesifik dan mempunyai sasaran-sasaran yang jelas. Dari sini, program-program ditentukan untuk menghidupkan pelan-pelan tindakan berkenaan di dalam perniagaan di dalam jangka masa yang ditentukan bergantung kepada apa yang mahu dicapai.
Setiap program perlu diberikan dana dan sumber yang cukup untuk membolehkan program berjalan dengan lancar. Jika tiada dana dan sumber, macamana nak buat perubahan yang besar? Ini adalah di antara punca mengapa strategi yang baik gagal dilaksanakan.
Sumber boleh juga termasuk orang-orang yang pernah melakukan satu-satu perkara yang belum pernah dilakukan di dalam perniagaan. Ini membantu orang-orang lain untuk mendapatkan ilmu dan kemahiran baharu yang bersesuaian dengan strategi yang kita pilih. Alatan dan teknologi baharu mungkin diperlukan jika proses perniagaan perlu diubah bagi mencapai matlamat yang menjadi asas kepada strategi.
Bagi perniagaan yang besar, ada unit khusus yang memantau pelaksanaan strategi. Mereka membantu pemimpin-peminpin program, membuat penilaian keberkesanan dan mencari masalah-masalah yang timbul untuk diselesaikan supaya program yang dilaksanakan memberi hasil yang dikehendaki.
Jika tahap pelaksanaan strategi tidak bergerak seperti yang diharapkan, perlu diadakan kajian dan post-mortem supaya mana yang tidak betul boleh diperbetulkan secepat mungkin. Inilah sebabnya setiap pelan tindakan dan program perlu kepada penanda aras masing-masing. Penanda aras ini kenalah besesuaian dengan apa yang mahu dinilai supaya maklumat yang dikumpulkan bertepatan dan tindak balas yang bersesuaian boleh dilaksanakan.
Ada juga CEO dan pihak pengurusan kanan yang silap di dalam membaca kemampuan perniagaan melaksanakan strategi yang ditetapkan. Di antara perkara yang boleh disilap baca ini ialah:
- Budaya di dalam perniagaan yang bertentangan dengan perubahan yang perlu dilakukan berdasarkan pelan tindakan dan program-program yang mahu dilaksanakan. Ada satu kata-kata Omputih “culture eats strategy for breakfast”.
- Dana dan sumber yang diperlukan bagi melaksanakan pelan tindakan dan program bagi melaksanakan strategi.
- Kemampuan dan keupayaan orang-orang yang berada di dalam perniagaan bagi melaksanakan perkara-perkara baharu.
- Sasaran yang tidak realistik dan terlalu agresif berbanding dengan tahap kemampuan dan dana serta sumber yang dibekalkan.
Satu teknik yang boleh dipertimbangkan ialah dengan “mencipta” kejayaan awal. Pilihlah satu dua perkara yang senang untuk dicapai dan fokuskan usaha supaya pencapaian boleh dijadikan pembakar semangat kepada semua orang yang ada di dalam perniagaan. Ini akan meningkatkan keyakinan mereka kepada apa yang kita usahakan dan mendorong mereka untuk melaksanakan perkara-perkara yang lebih mencabar.
Seorang usahawan yang berfungsi sebagai CEO kena berada di hadapan bila strategi dilaksanakan. Janganlah kesemuanya diserahkan kepada orang lain dan CEO hanya membaca laporan-laporan yang sampai kepadanya dan marah-marah bila banyak perkara tidak menjadi. CEO kena turun ke lapangan dan memahami cabaran yang ada di bawah. Bantu dan perbetukan segera apa yang menghalang strategi dari dilaksanakan. Pencapaian strategi adalah tanggungjawab CEO yang tidak boleh diletakkan di atas bahu orang lain.