Mengukuhkan Tadbir Urus

Menguruskan perniagaan bukanlah satu perkara yang mudah. Kita telah bincangkan sebelum ini bahawa keuntungan ialah pulangan kepada pengambilan risiko. Risiko pula ada bermacam-macam bergantung kepada jenis dan kompleksiti perniagaan.

Di samping itu, landskap perniagaan sentiasa berubah dipacu oleh perkara-perkara berikut:

  1. Ekonomi
  1. Politik
  1. Teknologi
  1. Alam
  1. Masyarakat

Perubahan akan memberi kesan ke atas perniagaan dan ianya harus dikesan dan ditangani bagi menjaga kepentingan perniagaan.

Usahawan yang memegang fungsi sebagai CEO janganlah pula takut untuk mengambil risiko. Peluang kena sentiasa dicari dan kita juga sudah membincangkan berkenaan kawalan dalaman, pengurusan risiko, pengurusan krisis dan pelan kesinambungan perniagaan.

Kesemua perkara-perkara di atas adalah unsur-unsur tadbir urus yang akan membolehkan perniagaan memgharungi cabaran perniagaan dengan lebih selamat walaupun risiko tidak boleh dihapuskan sepenuhnya.

Ada 6 prinsip tadbir urus yang boleh membantu untuk mengukuhkan perniagaan dan meningkatkan peluang untuk menjadikannya lebih lestari:

  1. Tanggungjawab pengawasan (stewardship) yang ditanggung oleh ahli lembaga pengarah dan juga pengurusan kanan termasuk CEO. Semuanya memegang amanah untuk melakukan yang terbaik ke atas perniagaan yang diserahkan kepada mereka untuk ditadbir, diurus dan dipimpin;
  1. Struktur tadbir urus hendaklah diwujudkan supaya ada semak imbang di antara lembaga pengarah dan pengurusan. Ini termasuklah mewujudkan jawatankuasa-jawatankuasa audit, risiko, penamaan dan apa sahaja yang bersesuaian. Peranan ahli lembaga pengarah dan pengurusan di dalam struktur-struktur ini kenalah jelas;
  1. Sistem kawalan dalaman yang menyeluruh dan berkesan perlu juga diadakan. Setiap pihak termasuk lembaga pengarah, pengurusan kanan, eksekutif dan juga kakitangan operasi ada peranan masing-masing di dalam menjaga sumber perniagaan dan memastikan sumber-sumber ini digunakan dengan cara yang betul;
  1. Sistem pengurusan risiko yang sentiasa memandang ke hadapan dan mempastikan perniagaan mempunyai keupayaan untuk menjadikan risiko yang dihadapi selaras dengan selera risiko yang ditetapkan oleh lembaga pengarah. Selera risiko ini pun kena sentiasa disesuaikan dengan suasana ekosistem perniagaan;
  1. Jaminan (assurance) yang efektif yang memerlukan jawatankuasa audit dan jabatan audit dalam sentiasa mempastikan sistem kawalan dalaman dan pengurusan risiko berjalan seperti yang dirancang. Juruaudit luar yang bebas dan mempunyai ilmu dan kemahiran yang bersesuaian dengan risiko perniagaan perlulah dipilih dan diberikan kebebasan untuk mengaudit perniagaan; dan
  1. Budaya yang meletakkan amanah dan tanggungjawab sebagai perkara yang terpenting di dalam jantunghati setiap warga perniagaan hendaklah dipupuk. Sistem dan proses yang baik tidak akan berjalan jika budaya yang sihat tidak wujud di dalam perniagaan.

Sebagai orang nombor satu di dalam pengurusan perniagaan, CEO kena menjadi pelopor tadbir urus yang cemerlang. Ini tidak terhad kepada menyokong operasi jabatan-jabatan yang berkaitan tetapi kena mempamirkan sikap yang selari dengan tadbir urus yang baik di dalam setiap tindakannya.

Sebagai contoh, bagi setiap kertas cadangan yang mahu dibawa ke mesyuarat lembaga pengarah, risiko dan mitigasi berkenaan apa yang dicadangkan hendaklah dilakukan terlebih dahulu dan dipersetujui oleh CEO. Dengan cara ini, semua orang di dalam organisasi akan memberikan tumpuan kepada perkara-perkara yang menyokong perjalanan tadbir urus yang baik kerana itulah nada yang ditetapkan oleh CEO.

Jabatan-jabatan bebas seperti audit dan pengurusan risiko hendaklah dibenarkan beroperasi secara bebas, dianggotai oleh bakat-bakat yang berilmu dan mahir serta diberikan sumber yang mencukupi bagi menjalankan tugas mereka.

Tanda aras prestasi utama perniagaan (key performance indicators) yang diguna pakai kenalah menunjukkan keseimbangan di antara mencari keuntungan dan kelestarian perniagaan. Jika fokus diberikan kepada keuntungan semata-mata, warga perniagaan akan menumpukan kepada perkara itu walaupun mendedahkan perniagaan kepada risiko yang tinggi.

Memanglah akan ada berdebatan untuk mengagihkan dana kepada pembesaran perniagaan dan pengukuhan tadbir urus. Di sinilah CEO perlu mempengaruhi lembaga pengarah untuk menyalurkan dana yang cukup bagi mengukuhkan tadbir urus.

Akhir sekali, CEO kena sentiasa menjadi pencetus budaya perniagaan yang sihat, tidak terlibat dengan salah guna kuasa dan rasuah serta memberi penghargaan kepada kakitangan yang cemerlang sikap dan pencapaian di dalam kerja mereka. Ini kena dibuat secara berulang-ulang di dalam tempoh yang lama sehingga menjadi “inilah bagaimana kami melakukannya di sini”.