Mencari Peluang Dan Menguruskan Risiko

Satu perkara yang perlu difahami berkenaan perniagaan ialah hakikat bahawa keuntungan yang didapati adalah pulangan kepada risiko yang diambil. Setiap peluang perniagaan yang muncul ada risiko yang tersendiri. Oleh itu, di samping mencari peluang untuk perniagaannya, seorang CEO juga kena pandai menguruskan risiko.

Peluang baharu perniagaan boleh datang dari pembesaran perniagaan yang ada sekarang atau pun dari peluang perniagaan yang baharu. Walaupun biasanya sudah ada pegawai-pegawai yang bertanggung jawab untuk membangunkan perniagaan (business development), CEO sebenarnya adalah orang yang paling penting di dalam mencari peluang-peluang yang baharu.

Oleh kerana nilai perniagaan kita ialah sejauh mana ianya dapat menyelesaikan kehendak pelanggan, kita juga kena proaktif mencadangkan kepada pelanggan atau pun bakal pelanggan bagaimana produk kita boleh memenuhi kehendak mereka pada kos yang bersesuaian. Ini bermakna CEO dan pasukannya kena sentiasa berada di luar dan mencipta peluang kepada perniagaan, bukannya menunggu peluang datang bergolek.

Dengan sentiasa berdamping dengan pelanggan dan pihak-pihak yang berkepentingan utama, CEO boleh memahami corak yang ada di dalam industri mahu pun yang berada di luar industri. Jika ada peluang yang munasabah, perkara ini bolehlah dikaji dengan lebih teliti dan kes perniagaan (business case) mengenainya dibentuk.

Tidak kesemua peluang-peluang baharu mesti dipertimbangkan. Di sinilah pentingnya bagi CEO untuk menetapkan apakah selera perniagaan untuk berkembang dan parameter yang dikira menarik untuk menjadikan satu peluang baharu sesuai untuk dikaji dengan lebih lanjut. Jika peluang yang timbul berada di luar dari parameter yang sudah ditetapkan, tak perlulah dihabiskan masa untuk menelitinya.

Seperti yang disebutkan di atas, peluang baharu boleh timbul di dalam bidang yang berada di luar perniagaan yang ada. Ini tentunya memerlukan penelitian yang lebih teliti kerana perniagaan kita mungkin tidak mempunyai kemampuan dari segi kemahiran, modal, insan dan pelbagai sumber lagi untuk merebut peluang berkenaan.

Sekiranya perniagaan kita sedang berkenbang dan berjaya, perasaan bahawa kita akan berjaya di dalam semua bidang lain boleh wujud di kalangan kepimpinannya. Ini merupakan satu perasaan yang merbahaya. Sudah banyak usahawan yang tersilap langkah dengan mencuba perniagaan yang di luar kemampuannya. Akhirnya perniagaan baharu tidak menjadi dan perniagaan asal menghadapi masalah kerana ssbahagian dana sudah digunakan untuk memulakan perniagaan baharu itu.

Risiko yang dihadapi oleh perniagaan boleh datang dari pelbagai bentuk di antaranya:

  1. Risiko strategik yang melibatkan permintaan dan persaingan
  1. Risiko operasi di dalam mengeluarkan produk
  1. Risiko pasaran yang boleh berubah dari masa ke semasa
  1. Risiko teknologi yang kian bertambah apabila perniagaan menggunakan teknologi dengan lebih giat
  1. Risiko kewangan yang berkait dengan modal dan aliran tunai
  1. Risiko perundangan hasil dari transaksi dan hubungan perniagaan dengan pihak ketiga

Fungsi pengurusan risiko kini menjadi satu kelaziman di dalam perniagaan besar. Tugas utama fungsi ini ialah mengenal pasti risiko yang dihadapi oleh perniagaan, menilainya dan membantu unit-unit perniagaan (business units) di dalam menguruskan risiko masing-masing.

Biasanya unit risiko ini adalah satu unit bebas yang melaporkan terus kepada Jawatankuasa Audit (jika ada). Ini membolehkan pihak lembaga pengarah untuk mengetahui apakah risiko-risiko utama perniagaan dan bagaimana risiko-risiko berkenaan diuruskan.

Unit risiko biasanya akan bekerjasama dengan unit audit dalam, satu lagi unit bebas yang berfungsi untuk menilai samada perniagaan mempunyai sistem kawalan dalaman yang berkesan dan meliputi kesemua risiko-risiko besar yang sudah dikenal pasti. Sepatutnya, risiko yang dinilai oleh unit audit dalam ini sama dengan risiko yang dipantau oleh unit risiko. Ada kalanya ada perbezaan di antara keduannya dan ini perlulah diselaraskan dengan segera.

Bagi setiap cadangan projek baharu, risikonya perlu dinilaikan dan dilaporkan kepada pengurusan kanan atau pun lembaga pengarah sebelum keputusan samada mahu meneruskan projek berkenaan dibuat. Dengan membuat penilaian risiko terlebih awal, perniagaan akan sedar risiko apakah yang akan dihadapinya, apa yang perlu dilakukan untuk mengurangkan risiko berkenaan dan berbaloikah pulangan yang didapati dari projek berkenaan berbanding dengan risiko yang diambil.

CEO kena menanamkan budaya menguruskan risiko di kalangan ahli pasukannya agar risiko perniagaan sentiasa dikawal dan tidak menimbulkan perkara-perkara buruk. Setiap seorang kakitangan perlu faham akan risiko kerja atau fungsj yang diuruskan dan mempastikan risiko berkenaan kekal rendah. Satu kesilapan lazim di dalam pengurusan perniagaan ialah anggapan tugas menguruskan risiko terletak semata-mata di atas bahu unit risiko. Itu adalah anggapan yang salah dan membahaya.

Mengimbangkan di antara peluang dan risiko secara keseluruhannya adalah tugas CEO. Tidak ada perniagaan yang tiada risiko. Oleh itu CEO kena memiliki kemahiran menguruskan risiko, mempastikan sistem kawalan dalaman dan pengurusan risiko sentiasa berkesan dan menjadikan pengurusan risiko satu budaya perniagaan.