Pada peringkat ini tentunya kita sudah sedar bahawa seorang usahawan yang memainkan peranan sebagai CEO kena berinteraksi dengan pelbagai kumpulan manusia di dalam menjalankan tugas-tugas beliau.
Di dalam perniagaan yang dipimpinnya pun sudah ada pelbagai peringkat ahli pasukan dari pengurusan kanan, eksekutif sehinggalah orang-orang di barisan hadapan seperti pemasaran dan jualan. Jika perniagaan lebih besar dan kompleks seperti mempunyai anak-anak syarikat dan rakan-rakan niaga yang pelbagai maka bertambahlah golongan yang perlu dicapai oleh CEO.
Di samping pembekal dan pelanggan, perniagaan juga ada macam-macam pihak yang mempunyai kepentingan ke atasnya dari kerajaan hinggalah NGO yang berkaitan. Kepentingan pihak-pihak ini tidak semestinya sama dan selari dengan apa yang penting bagi perniagaan kita.
Di dalam berinteraksi dengan pelbagai pihak ini, seorang CEO kenalah selesa untuk berkomunikasi bagi menjadikan mereka memahami mengapa mereka seharusnya selesa dengan perniagaan kita dan memberi sokongan kepada kita. Ini penting kerana tanpa sokongan dari pihak yang berada di dalam ekosistem perniagaan, susah bagi perniagaan untuk maju ke hadapan.
Komunikasi yang berkesan ada tiga unsur penting:
- Orang yang menyampaikan mesej. Walaupun mesej itu penting, penyampainya juga ada peranan. Jika dia seorang yang mempunyai reputasi yang baik, dikenali dengan pencapaiannya dan dikira layak di dalam perkara yang dibincangkan, orang akan lebih mudah menerima mesej yang cuba disampaikan. Bahasa badan yang positif akan membantu di dalam komunikasi.
- Mesej yang cuba disampaikan mestilah disesuaikan dengan penerimanya. Ini penting bila satu perkara perlu dibincangkan dengan pelbagai pihak yang mempunyai kepentingan yang berbeza serta berbeza pula dari segi demografi dan latar belakang. Komunikasi dengan orang yang sudah faham berbeza dengan orang yang baharu menjumpai perkara yang kita bincangkan buat pertama kali.
- Cara mesej disampaikan. CEO kena mengambilkira bagaimana orang yang dituju boleh menerima apa yang mahu disampaikan. Komunikasi di dalam mesyuarat berbeza dengan perbincangan empat mata dan komunikasi melalui media masa.
Seorang CEO kena sentiasa bersedia untuk bertemu dengan pelbagai pihak berkepentingan dan tahu mesej apa yang perlu disampaikan kepada pihak mana. Namun, jangan sekali-kali menyampaikan mesej yang bercanggah kerana ini dinilai dengan negatif. Di zaman ini, pihak yang berkepentingan boleh menyemak silang apa yang kita perkatakan di tempat yang berbeza dengan senang.
Di zaman media sosial, kita boleh mendapat maklum balas yang cepat berkenaan perkara-perkara yang zahir di khalayak ramai. Ini ada baiknya kerana kita boleh mengetahui pandangan orang lain berkenaan perniagaan kita. Namun ada beberapa cabaran komunikasi baharu disebabkan media sosial:
- Kita mungkin berasa seronok dengan maklum balas positif sedangkan itu mungkin tidak mewakili keseluruhan pihak yang berkenaan.
- Kesilapan berkomunikasi akan mendapat reaksi spontan dan boleh menjadi luar kawalan di dalam tempoh masa yang singkat.
- Kita boleh diserang secara serentak oleh pihak-pihak yang tidak bersetuju dengan kita walaupun apa yang dibangkitkan tidak benar dan palsu.
Setiap perniagaan perlu memahami cabaran komunikasi di medi sosial dan sentiasa bersedia untuk memberi respon bila perlu. Satu perkara yang perlu dijawab di waktu malam boleh menjadi besar pada pagi besoknya jika kita gagal bertindak pada masanya.
Di dalam berkomunikasi jadilah diri kita yang sebenarnya dan tidak perlu kita menjadi orang lain. Keikhlasan dan empati akan menjadikan orang lain lebih terbuka untuk mendengar kita walaupun mereka mungkin tidak bersetuju dengan kita. Jika kita cuba berlakon, ianya boleh dibaca dengan senang oleh pihak yang ada di hadapan kita.
Untuk menjadi pekomunikasi yang berkesan, CEO juga kena menjadi pendengar yang baik. Ini bukan sahaja terhadap apa yang dikatakan kepada kita tetapi kita kena perhatikan bahasa badan, suasana dan juga konteks perbincangan. Jika kita tidak suka mendengar dan menjadikan perbincangan satu hala sahaja, kita mungkin nampak berkesan walaupun kedudukan sebenar boleh jadi sebaliknya.
Kadang-kadang lokasi dan suasana perbincangan boleh juga membantu. Kita kena kaji samada kita perlu keluar dan bertemu dilokasi orang yang mahu kita jumpa, berjumpa di tempat kita atau pun berjumpa di tempat yang nuteral. Setengah orang lebih terbuka jantunghatinya jika tempat dan suasana kena dengan apa yang dia suka.
Membuat kerja rumah berkenaan perbincangan yang akan kita hadiri membolehkan seorang usahawan yang menjadi CEO lebih bersedia dan berkesan. Lebih banyak kita tahu berkenaan dengan siapa yang akan kita jumpa akan memberi beberapa kelebihan kepada kita. Di antaranya:
- Apa yang dia suka dan bagaimana untuk mendapat persetujuannya.
- Mengelakkan perkataan atau pun perkara-perkara yang tidak penting tetapi boleh menjadi penyebab dia tak bersetuju.
- Bersedia dengan penyelesaian dengan kaedah yang boleh diterima oleh pihak berkenaan.
Mahu tidak mahu, seorang CEO perlu berkomunikasi dengan berkesan di pelbagai keadaan. Memang ini boleh jadi satu perkara yang mencabar tetapi inilah salah satu tugas penting seorang CEO.