Menentukan Halatuju dan Strategi Perniagaan

Seorang CEO harus boleh menjawab dengan jelas “ke mana perniagaan mahu ditujukan”. Ini amat penting kerana semua orang-orang lain akan merujuk kepada CEO berkenaan halatuju perniagaan, termasuk lembaga pengarah.

Adakah seorang CEO mampu menjawab persoalan ini pada hari pertama dia menduduki kerusi CEOnya? Tentu sekali, tidak.

Sebelum ini telah membincangkan bertapa pentingnya seorang CEO memahami kedudukan sebenar perniagaan dari pelbagai aspek. Untuk mendapatkan kefahaman demikian memakan masa juga. Kena buat kajian sendiri, bertemu dengan pelbagai pihak yang berkepentingan, mendengar taklimat dari orang-orang di bawah seliaannya dan juga turun ke lapangan untuk memahami sendiri apa yang berlaku di dalam perniagaan.

Maklumat-maklumat dan data-data yang dikumpulkan di dalam proses di atas boleh membantu di dalam menentukan hala tuju dan kaedah perjalanan perniagaan.

Adakah halatuju perniagaan ditentukan oleh CEO secara berseorangan? Ini bergantung kepada keadaan perniagaan. 

Jika ianya kecil, baru ditubuhkan dan hanya mempunyai bilangan pekerja yang kecil dan kebanyakannya hanyalah menunggu arahan, mungkin usahawan yang memainkan peranan sebagai CEO boleh menentukannya. Namun, jika perniagaan sudah besar dan mempunyai struktur yang lebih kompleks dan sudah ramai orang-orang pandai yang menjadi ahli pengurusan kanan, kaedah menentukan halatuju kenalah lebih konsultatif.

Inilah sebabnya mengapa pembentukan strategi dan penetapan halatuju di dalam perniagaan dan organisasi yang lebih besar lebih kompleks dan rumit. Perlu diadakan kajian, perbincangan dan bengkel yang melibatkan pelbagai pihak di dalam dan di luar perniagaan. Malah, ada yang membawa perunding dari luar untuk membantu.

Walaupun menetapkan halatuju dan bagaimana untuk mencapainya penting, penerimaan orang-orang yang memegang dan mengurus fungsi-fungsi utama perniagaan ke atas halatuju dan strategi itu amat penting. Sebagaimana yang saya sudah sebut, seorang CEO bekerja melalui orang-orang yang dipimpinnya, dia bukan Superman yang boleh buat semua benda. Jika halatuju dan strategi tidak diterima oleh pengurusan kanan dan orang-orang lain yang berpengaruh, susah strategi hendak dilaksanakan dan halatuju hendak dicapai.

Proses pembentukan strategi seperti di atas akan membolehkan halatuju dan strategi dibincangkan secara bersama dan pandangan pelbagai pihak diambil. Apabila ianya sudah dipersetujui, diharapkan ianya diterima sebagai satu keputusan secara berkumpulan dan semua orang akan berasa bertanggungjawab untuk melaksana dan mencapai matlamat yang ditetapkan itu. 

Di dalam proses ini, CEO kena berperanan sebagai pemimpin dan mempamirkan daya kepemimpinan beliau. Tak boleh duduk di belakang dan dengar orang lain bercakap sahaja.

Bila kesemua di atas sudah beres, adakah ini bermakna tugas CEO sudah selesai juga di dalam bab halatuju dan strategi ini? Tidak. Ianya hanyalah permulaan sahaja. Kaedah pelaksanaan strategi akan dibincangkan di bahagian lain.

Apa yang penting ialah bagaimana seorang CEO memberi panduan dan membuat keputusan harian berpandukan strategi yang sudah ditetapkan. 

Sekiranya kesemua orang-orang kanan CEO hebat-hebat sekali pun, mereka masih memerlukan panduan dari CEO. Bila mereka ada masalah atau pun perlu kejelasan, mereka akan merujuk kepada CEO. Di sinilah CEO kena mampu menunjukkan arah dan memberi panduan selari dengan strategi yang sudah ditetapkan. Kalau CEO pun was-was dan takut-takut, keyakinan dan kepercayaan orang lain ke atas CEO akan terjejas. Ini amat merbahaya.

Seorang CEO juga kenalah menjangka keputusan-keputusan besar yang perlu dia lalukan berdasarkan strategi yang sudah ditetapkan atau pun bila keadaan persekitaran berubah. Tak bolehlah setiap masalah yang dibawa kepadanya ditangguh-tangguhkan, diserahkan balik kepada orang yang bertanya atau pun diangkat kepada lembaga pengarah. Nanti orang akan mula tanya “apa kerja CEO ni?”. 

Seorang CEO dibayar untuk memimpin dan membuat keputusan besar-besar. Keputusan besar-besar mempunyai risiko yang tinggi. Namun, jika seorang CEO tidak bersedia dan takut untuk membuat keputusan, dia kena fikir balik samada dia layak untuk menduduki CEO tu.  

Ini tidak pula bermakna seorang CEO kena buat semua keputusan tanpa berfikir panjang. Dari halatuju dan strategi yang dibentuk, kebanyakan isu-isu besar ni sudah boleh dijangka. Nak tutup kilang, naikkan harga, tukar pegawai kanan, keluarkan produk baharu, nak rasuah ke tidak dan macam-macam lagi isu sudah boleh dijangka. Oleh itu persediaan awal seperti membuat kajian, merujuk kepada pakar dan mengumpulkan maklumat boleh dibuat lebih awal. Bila tiba ketikanya, seorang CEO membuat keputusan dengan yakin berdasarkan persediaan yang sudah rapi.

Di dalam alam yang nyata, membuat keputusan strategik dengan akibat yang besar ni boleh mengeluarkan peluh. Tapi ingat, itulah tanggungjawab seorang CEO dan ramai orang lain yang bergantung kepadanya di dalam memandu perniagaan ke arah yang dituju.